TEMERLOH - Seorang pemandu peribadi dan pelajar tahfiz menjadi antara individu pertama di Pahang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas kesalahan membuang puntung rokok di tempat awam.Ahmad Marzuki Shafie, 45, dan Muhammad Adli Ramadhan Anwar, 26, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.Mahkamah menjatuhi Ahmad Marzuki hukuman denda RM600, manakala Muhammad Adli Ramadhan didenda RM300, dengan kedua-duanya diperintahkan dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.Selain itu, mahkamah turut memerintahkan kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) menjalani Perintah Khidmat Masyarakat selama enam jam dalam tempoh enam bulan, iaitu satu jam sehari selaras dengan Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672].Berdasarkan pertuduhan, Ahmad Marzuki dan Muhammad Adli Ramadhan didakwa membuang puntung rokok di tempat atau jalan awam dan tidak membuangnya di dalam bekas yang diperuntukkan di Jalan Esplanade Temerloh, Jalan Semantan 1 di sini, masing-masing pada 4.20 petang dan 4.45 petang, 1 Januari lepas.Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 77A(1) Akta 672 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 77A(2), serta sebagai tambahan boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat di bawah Seksyen 77B(1) akta sama.Ahmad Marzuki yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan berpendapatan RM1,900 sebulan dan mengalami kecederaan kaki akibat kemalangan pada 2007 dan 2015.Sementara itu, Muhammad Adli Ramadhan yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) memohon agar denda dikurangkan kerana masih dalam status belajar dan berkhidmat di sebuah maahad tahfiz di Setia Alam, Selangor.Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Nur Idayu Syazwani Mohd Arif dan Muhammad Fadli Syam Ramli.Kedua-dua OKS membayar denda berkenaan dan difahamkan akan melaksanakan perintah khidmat masyarakat di sekitar Temerloh, esok. - Bernama