Pemilikan saham: Kerajaan digesa tamatkan kontrak Azam Baki

IPOH – Kerajaan digesa menamatkan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta-merta bagi menjaga nama baik dan kredibiliti institusi berkenaan.Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, perkembangan terbaharu yang melibatkan Azam sekali lagi menimbulkan persoalan besar terhadap integriti, tadbir urus serta persepsi awam terhadap SPRM sebagai badan pencegahan rasuah negara.Menurutnya, walaupun pelbagai penjelasan telah dikemukakan, isu yang berulang itu tetap menghakis keyakinan rakyat dan mencemarkan imej SPRM yang sepatutnya berdiri atas prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban serta bebas daripada sebarang konflik kepentingan."Sebagai suruhanjaya yang berperanan menegakkan semangat integriti dalam pentadbiran negara, SPRM tidak boleh dipimpin oleh individu yang terus dibayangi kontroversi, sama ada dari sudut undang-undang mahupun persepsi awam."Dalam soal integriti institusi, persepsi awam adalah sama penting dengan pematuhan teknikal terhadap peraturan," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.Muhammad Ismi berkata, langkah menamatkan kontrak Azam penting bagi membolehkan proses pembaharuan institusi dilaksanakan tanpa sebarang keraguan atau konflik kepentingan.Tegas beliau, Kerajaan Persekutuan perlu menunjukkan komitmen politik yang jelas terhadap agenda reformasi institusi dengan memastikan pelantikan kepimpinan SPRM selepas ini dibuat secara telus, bebas dan berintegriti.Kata wakil rakyat pembangkang itu, mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh juga perlu diwujudkan bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi berkenaan.Sebelum ini, sebuah portal antarabangsa melaporkan Azam, 62, dikatakan memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.Pada 11 Februari, Azam menafikan masih memegang saham dalam mana-mana syarikat dan menyifatkan laporan yang dikeluarkan media antarabangsa itu berniat jahat.Susulan penyiaran laporan media antarabangsa itu, Azam mengarahkan peguamnya mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada Bloomberg berhubung laporan yang disifatkannya 'mengelirukan' dan 'berunsur fitnah' sehingga mencetuskan protes menuntut meletakkan jawatan.