JOHOR BAHRU - Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas tuduhan mencabul kehormatan seorang wanita dalam kenderaan e-hailing dipandunya, awal bulan ini.Tertuduh, Alvin Choo Chee Hong, 26 membuatkan pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.Berdasarkan kertas pertuduhan, penjawat awam itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas seorang wanita warga asing dengan niat hendak mencabul kehormatan dengan cara memegang tiga anggota badan wanita itu.Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam kereta Perodua Bezza antara Kedai Emas Ros Merah, Jalan Harimau Tarum, Taman Century dan R&F Princess Cove, Jalan Tanjung Puteri 1, Tanjung Puteri di sini antara jam 5.30 petang hingga 6 petang, 1 Februari lalu.Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua dari hukuman itu, jika sabit kesalahan.Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha'ari menawarkan jaminan RM10,000, namun dibantah peguam Mark Jeyakumar yang mewakili tertuduh.Mark berkata, anak guamnya hanya berpendapatan kira-kira RM3,000 sebulan dan jumlah jaminan yang tinggi di luar kemampuan tertuduh.Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dan menetapkan 13 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.Sebelum ini, Polis Johor mengesahkan telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun berhubung kes cabul kehormatan terhadap seorang wanita warga Vietnam yang tular menerusi video di media sosialKetua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, laporan polis diterima daripada mangsa yang mendakwa menjadi mangsa serangan seksual oleh pemandu e-hailing di dalam kenderaan yang digunakan suspek.Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kemudian dilaporkan berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membatalkan serta-merta Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) pemandu e-hailing terlibat dalam insiden gangguan seksual terhadap penumpang wanita itu menyebabkan pemandu terbabit tidak boleh berkhidmat sebagai pemandu di semua platform e-hailing.