KUANTAN - Seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di Bentong ditahan kerana disyaki membuli pelajar tingkatan satu menggunakan puntung rokok di asrama sekolah berkenaan, Rabu lalu.Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pelajar terbabit ditahan untuk siasatan susulan laporan dibuat mangsa pada Khamis.Menurutnya, pelajar berusia 13 tahun itu melecur di dada akibat didera dengan puntung rokok."Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku di tandas asrama sekolah."Mangsa dipercayai dicederakan selepas enggan menuruti arahan suspek supaya menghisap rokok," katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.Yahaya berkata, susulan kejadian, mangsa memberitahu kepada warden asrama sebelum dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan."Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan di dada dan terdapat kesan lecuran puntung rokok."Susulan kejadian itu, keluarga mangsa membuat laporan polis dan pelajar membulinya ditahan di asrama sekolah pada hari sama," katanya.Jelas beliau, siasatan masih dijalankan termasuk menemubual beberapa saksi serta mengesan kemungkinan terdapat suspek dan mangsa lain terbabit dalam kejadian itu."Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.