SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa supaya siasatan dijalankan bagi menentukan kebenaran berhubung dakwaan menerusi video 'Mafia Korporat' yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).Beliau menyifatkan pendedahan itu amat menjejaskan imej kerajaan dan SPRM."Kena siasat segera kebenarannya, kalau benar buat permbersihan total terhadap SPRM."Sebaliknya jika ia cerita palsu, ambil tindakan undang-undang. Amat merunsingkan jika ia benar. Takut ia sudah berakar umbi dan sukar untuk dipulihkan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.Mohd Puad berkata, rakyat perlu diberi penjelasan berhubung dakwaan tersebut."Tidak guna SPRM dilihat tegas, ada pegawai tinggi tentera didakwa dan pemimpin politik ditangkap tetapi di dalam SPRM ada mafia."Isunya reform terhadap SPRM. Siapa polis terhadap SPRM? Jawatankuasa aduan SPRM macam tidak ada kuasa menyiasat salah laku jenayah pegawai SPRM," katanya lagi.Beliau berkata, satu unit khas perlu diwujudkan bagi membolehkan orang ramai membuat aduan terhadap salah laku pegawai SPRM.Terdahulu, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menerusi hantaran di media sosial pada Khamis menyorot laporan sebuah media antarabangsa yang mendakwa SPRM dibolosi oleh beberapa individu yang terpalit dengan pelbagai tuduhan jenayah termasuklah tuduhan menggunakan syarikat peminjam wang berlesen untuk mencuci duit hasil daripada aktiviti jenayah.