MELAKA - Seorang pengawal keselamatan di sebuah institusi pengajian tinggi didenda RM2,500 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah menyimpan bahan berkaitan ajaran yang difatwakan haram.Hakim Syarie, Mohd Yunus Mohamad Zin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Shahirman Akbar Ali Khan, 36, atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati memiliki bahan termasuk kain rentang, baju T, poster, buku dan bahan berkaitan ajaran ‘The Ahmadi Religion of Peace and Light’ di sebuah rumah di Telok Mas sekitar jam 8 pagi, Khamis.Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 kerana menghina agama Islam yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.Timbalan Pendakwa Syarie Kanan, Muhammad Rafaie Zasari memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran selain supaya tertuduh bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan kerana tidak berkemampuan membayar denda yang tinggi selain menghidap strok.Tertuduh memaklumkan bahawa dia terjebak dengan perbuatan itu kerana terikut-ikut dengan orang lain.Pada Khamis, penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyerbu sebuah rumah di Telok Mas dan menahan lelaki terbabit hasil aduan orang awam.