PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya membongkarkan kegiatan memalsukan dan mengubah suai pasport bagi membolehkan warga asing melepasi saringan pemeriksaan kesihatan pekerja asing (FOMEMA), dan menahan seorang pelajar warga Bangladesh dalam satu operasi khas di dua lokasi sekitar Sentul, semalam.Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, operasi itu dijalankan melalui Bahagian Perisikan dan Operasi Khas hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan.Beliau berkata semakan awal terhadap lelaki Bangladesh berumur 27 tahun itu mendapati individu berkenaan memiliki pas pelajar yang masih sah laku."Modus operandi sindiket ini adalah dengan menawarkan perkhidmatan kepada warga Bangladesh yang berada di sekitar Lembah Klang dan ingin menjalani saringan pemeriksaan kesihatan FOMEMA, namun didapati tidak melepasi pemeriksaan atau berstatus tidak layak (unfit)."Pasport yang dipalsukan akan dipinda atau diubah suai mengikut keperluan bagi membolehkan ia digunakan semasa proses saringan kesihatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.Lokman Effendi berkata, pasukan operasi turut menyita 22 pasport Bangladesh yang disyaki palsu, kad akses, satu set komputer, mesin pencetak, mesin pemotong, mesin engrave laser dan mesin pemotong curve serta sebuah motosikal jenis Benelli Leoncino dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.Beliau berkata, bagi mengelakkan dikesan, khidmat runner akan digunakan untuk menghantar pasport palsu yang telah siap kepada pelanggan dengan pembayaran secara dalam talian."Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai telah menghasilkan antara 200 hingga 300 pasport palsu dalam tempoh sebulan, dan menjalankan kegiatan tersebut selama kira-kira enam bulan," katanya.Lokman Effendi berkata lelaki warga Bangladesh ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala seorang lelaki warga Malaysia telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan. - Bernama