KOTA BHARU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan melihat pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Jumaat tidak menggugat kedudukan parti berkenaan.Pengerusinya, Datuk Kamarudin Mohd Nor bagaimanapun berkata, jumlah Ahli Parlimen parti itu berkurangan, namun ia tidak memberi apa-apa kesan."Kurang atau lebih, kita masih belum boleh jadi kerajaan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Lembaga Disiplin Bersatu yang memecat Hamzah berkuat kuasa serta-merta pada Jumaat.Mengulas lanjut, Kamarudin meminta semua pihak menghormati keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin parti."Kita yang lantik dan tubuh Lembaga Disiplin. Jadi perlu hormatilah keputusan yang dibuat. Tindakan itu berpandukan kepada penilaian dan semakan."Jadi ahli harus beri kepercayaan penuh kepada Lembaga Disiplin," katanya.Media pada Jumaat melaporkan Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Hamzah.Menurut notis yang dikeluarkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, pemecatan Hamzah dibuat kerana tindakannya yang melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti."Adalah dimaklumkan bahawa pihak Lembaga Disiplin telah bersidang pada 12 Februari 2026 dan telah memutuskan bahawa Datuk Seri dipecat dan hak-hak keahliannya dalam parti digugurkan di bawah Fasal 22.5 berkuat kuasa mulai tarikh surat ini dikeluarkan kerana tindakan Datuk Seri melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu."Sila ambil perhatian bahawa notis ini berkuat kuasa serta-merta. Walau bagaimanapun, pihak Datuk Seri boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini," menurut notis itu.