Suspek sakit mental, dakwa kandungan isteri bukan anaknya

KOTA TINGGI – Lelaki yang disyaki membunuh isterinya yang sarat tujuh bulan di Kampung Makam di sini dikatakan mengalami masalah mental selain mendakwa kandungan isterinya bukan anaknya.Perkara itu dikongsikan jirannya yang juga pemilik rumah sewa, Atikah Sulaiman, 44, ketika suspek berusia 35 tahun itu datang ke rumahnya pagi Jumaat."Dia datang macam biasa saja, baju bersih, tak ada kesan darah. Malah siap minum air kotak lagi dengan anaknya."Dia beritahu nak buat laporan kepada suami sebab isterinya ada hubungan dengan lelaki lain dan dakwanya kandungan tujuh bulan itu bukan anak dia."Suami tanya mana isteri? Dia cakap isteri dalam bilik, saya sudah 'matikan' dia," katanya ketika ditemui di Kampung Makam pada Jumaat.Ujar Atikah, selepas mendengar kata-kata lelaki itu, suaminya segera ke rumah sewa berkenaan."Suami beritahu saya, isterinya sudah berlumuran darah dan tidak bernyawa."Lelaki itu minta kami laporkan kejadian itu kepada pihak polis. Dia serah diri dan tidak melawan ketika ditahan," katanya lagi.Atikah berkata, mangsa dan suspek baru dua bulan pulang ke rumah sewa itu selepas ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan susulan penyakit lelaki itu."Sebelum ini lelaki itu kerja gunting rambut tetapi lepas balik sini dia tak bekerja."Mangsa ada beritahu suaminya itu ada masalah kesihatan mental sebab itu mereka pergi membuat rawatan di Kuala Lumpur," katanya.