Remaja 18 tahun ditahan disyaki buang bayi

MELAKA – Polis menahan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang dipercayai ibu kepada mayat bayi yang ditinggalkan di tandas awam Taman Bandaraya Bukit Serindit pada pagi Jumaat.Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek yang berstatus bujang ditahan di wad Hospital Melaka ketika sedang menerima rawatan selepas dipercayai mengalami pendarahan akibat bersalin.Menurutnya, remaja berkenaan dipercayai melahirkan bayi perempuan itu sekitar jam 8.30 malam di rumah keluarganya."Siasatan awal mendapati ahli keluarganya tidak menyedari suspek mengandung dan keterangan awal mendapati suspek mengaku melahirkan bayi berkenaan yang didakwa sudah tidak bernyawa di rumahnya."Remaja itu kemudian menaiki motosikal dan meninggalkan mayat bayi berkenaan di tandas awam yang terletak kira-kira dua kilometer dari kediamannya," katanya pada Jumaat.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan beg kain yang disangka berisi pakaian rupa-rupanya mengandungi mayat bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bertali pusat, ditinggalkan di dalam tandas awam berkenaan.Pekerja pembersihan, Baharudin Bachik, 57, memaklumkan beg tersebut diletakkan di tempat persalinan bayi sekitar jam 9.40 pagi ketika kerja-kerja pembersihan dijalankan.Terdahulu, berita penemuan mayat bayi berkenaan dikongsikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem di Facebook yang meluahkan rasa kecewa dan kesal terhadap kejadian tersebut.Dzulkhairi berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara sulit membuang mayat bayi.Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.