SHAH ALAM – Selepas Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), empat lagi pemimpin parti itu menerima nasib sama selepas didapati melanggar Perlembagaan Bersatu.Menurut notis berasingan yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan pada Jumaat, mereka yang terlibat ialah Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan; Ketua Bahagian Bersatu Larut, Mohd Hassundi Hamzah dan Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin.Dalam notis itu, Mohd Radzi berkata, pemecatan itu berkuat kuasa serta-merta selepas pihaknya bersidang pada Khamis.Katanya, Lembaga Disiplin memutuskan bahawa keempat-empat individu terbabit telah melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.Susulan itu, Lembaga Disiplin memutuskan supaya keahlian mereka dipecat di bawah Fasal 22.5 perlembagaan parti, berkuat kuasa mulai tarikh notis dikeluarkan.Notis tersebut turut menegaskan bahawa pemecatan berkenaan melibatkan penarikan semua hak keahlian parti.Bagaimanapun, keempat-empat bekas ahli berkenaan masih diberi peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan Bersatu dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu merangkap Ketua Pembangkang dipecat keahliannya berkuat kuasa pada Jumaat.Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu diputuskan oleh Lembaga Disiplin selaras dengan Fasal 22.5 perlembagaan parti.Hamzah pada Khamis dilaporkan tidak hadir selepas dipanggil ke prosiding bersama Lembaga Disiplin parti itu yang dijadualkan berlangsung di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.Setiausaha Sulitnya, Ahmad Ikhwan Fadhli memaklumkan Ahli Parlimen Larut itu kini berada di Sydney, Australia.Beliau berkata, Hamzah berlepas ke Australia bagi menemani dan membantu urusan pendaftaran universiti anak perempuannya sebelum menerima notis pada 7 Februari lalu untuk hadir ke prosiding Lembaga Disiplin Bersatu.Lembaga Disiplin Bersatu dalam notis panggilan sebelum ini memaklumkan Hamzah dipanggil berhubung isu kritikan dan serangan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin serta rundingan membabitkan presiden parti dalam Perikatan Nasional (PN).Sebelum ini, pelbagai desakan daripada pemimpin parti itu supaya keahlian Hamzah dipecat selepas didakwa menjadi dalang kepada gerakan menggesa pengunduran Muhyiddin.Hamzah turut didakwa terbabit dalam gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) bagi mengambil alih dan menukar kepimpinan Bersatu ketika ini.Bersatu sebelum ini juga telah mengambil tindakan pemecatan terhadap ramai pemimpinnya yang terbabit dalam gerakan sama.