'Muhyiddin takut dengan pengaruh Hamzah' - Saifuddin

SHAH ALAM – Pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta memberi gambaran bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin takut dengan pengaruh Timbalan Presiden yang semakin kuat dalam parti.Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, langkah tersebut memperlihatkan Muhyiddin yang juga Presiden parti sebagai pemimpin yang lemah."Jika benar Muhyiddin masih mempunyai sokongan, tidak perlu bertindak seperti ini."Parti politik yang matang tidak harus dipimpin oleh ketakutan atau ketaksuban untuk mengekalkan kedudukan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Selain Hamzah, Lembaga Disiplin Bersatu turut memecat 16 lagi pemimpin parti itu selepas didapati melanggar Perlembagaan parti.Mereka yang terlibat ialah Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.Tujuh lagi melibatkan Ketua Bahagian Bersatu iaitu Mohd Hassundi Hamzah (Larut), Yunus Nurdin yang juga Setiausaha Bersatu Sabah (Libaran), Datuk Abdul Aziz Ismail; Ahmad Nasir Mid (Selayang), Ahmad Ishak (Gopeng), Kamaruddin Majid (Telok Intan) dan Mohd Yunus Mohd Yusof (Tapah).Selain itu, turut dipecat ialah Nabila Norsahar (Sepanggar); Mohamad Syafiq Abdul Halim (Hulu Langat); Ramlan Meon (Tangga Batu); Yunus Nurdin (Libaran); Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru) dan Datuk Mohd Yadzil Yaakub (Jasin).Dalam pada itu, Saifuddin berkata, tindakan pemecatan Ahli Parlimen Larut itu berlaku selepas beberapa jam 16 Ahli Parlimen menggesa Muhyiddin berundur sebagai Presiden dan menyerahkan jawatan kepada Hamzah.Justeru katanya, ia menimbulkan persoalan mengenai motif sebenar keputusan berkenaan.