Niat kurangkan 'screen time', tangan anak pula jadi kanvas

SHAH ALAM – Niat seorang ibu untuk mengurangkan masa penggunaan telefon pintar anak bertukar menjadi momen lucu apabila si kecil bertindak ‘kreatif’ sehingga hampir seluruh tangan dan kakinya dipenuhi cat air.Noreen Ismail, 37, berkata, kejadian berlaku ketika aktiviti hujung minggu di rumah ibu mentuanya di Melaka, kira-kira jam 12 tengah hari.Katanya, setiap kali mahu mengurangkan masa skrin, anaknya, Nur Khayla Azzahra Mohamed Khairul Idhham yang berusia 4 tahun pasti akan meminta permainan atau aktiviti lain untuk dilakukan."Dia memang minat dan suka explore dengan warna. Kebetulan masa itu mak mentua saya beri dia main cat air untuk conteng di atas buku."Pada mulanya dia guna berus, tapi lepas itu mula celup tangan dan buat cop tangan atas buku," katanya berkongsi cerita.Tambahnya, keadaan menjadi lebih ‘meriah’ apabila Khayla tiba-tiba duduk di bawah meja dan mula menyapu hampir keseluruhan tangan serta kakinya dengan cat air."Saya masa tu sedang buat kerja lain dan tak beri sepenuh perhatian. Bila perasan dia dah duduk bawah meja, saya terus sergah sebab takut dia warna sekali muka," katanya.Walaupun situasi itu mencuit hati, ibu tersebut bersyukur melihat perkembangan positif anaknya yang kini semakin aktif dan ceria.Menurutnya, April ini genap hampir dua tahun Khayla menjalani pembedahan pemindahan hati."Alhamdulillah, walaupun pernah melalui fasa penolakan hati sebanyak dua kali, semangat dia untuk terus sihat memang kuat."Sekarang pun dia dah mula masuk sekolah," ujarnya yang tidak menyangka kisah 'kreatif' Khayla itu mendapat perhatian ramai.Khayla sebelum ini disahkan menghidap Biliary Atresia (BA) atau kegagalan fungsi hati selamat menjalani pemindahan hati di Hospital Renji, China pada 2024 selepas dana RM250,000 berjaya dikumpulkan.