Bot pancung, pom-pom digunakan seludup PATI - Maritim Malaysia

SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengenal pasti sindiket yang aktif mempromosikan khidmat penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, sindiket kebanyakannya menggunakan laman sesawang seperti TikTok, Instagram dan Facebook sebagai medium untuk mempromosikan khidmat mereka.Menurutnya, harga yang ditawarkan sindiket pula bergantung kepada bot yang akan membawa PATI pulang ke Indonesia."Jika bot yang dipilih ialah bot laju, harga yang ditawarkan lebih tinggi berbanding bot kayu yang berkelajuan rendah."Kebiasaannya, sindiket akan mengambil peluang pada waktu malam untuk beroperasi."Sekiranya sindiket dapat mengenal pasti kehadiran penguat kuasa seperti Maritim Malaysia di laut, penghantaran pada malam tersebut akan dibatalkan dan PATI akan menunggu di rumah penampungan yang disediakan sindiket lebih lama sementara keadaan dianggap selamat untuk merentas sempadan laut," katanya kepada Sinar Harian.Beliau berkata, bot yang dikenal pasti digunakan sindiket antaranya bot pancung atau bot fiber dengan enjin rata-rata 200 kuasa kuda (hp), bot kayu atau digelar bot pom-pom, selain tidak dinafikan penglibatan bot nelayan tempatan kelas B dan C.Katanya, kapasiti bot pancung boleh memuatkan penumpang sekitar 10 hingga 30 orang, bot pom-pom sekitar 30 hingga 80 orang, manakala bot nelayan tempatan pula kurang daripada 30 orang."Kawasan yang dilihat aktif pada masa ini dan sering digunakan sindiket ialah sekitar perairan Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak."Titik pengambilan atau lokasi pengambilan akan berubah-ubah bergantung kepada situasi atau keadaan semasa yang difikirkan selamat oleh sindiket. Kebiasaannya, aktiviti akan berlaku pada waktu air pasang," katanya.Tegasnya, Maritim Malaysia mengambil serius isu penyeludupan PATI dan melaksanakan langkah proaktif bagi menanganinya."Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di laut dan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana pihak atau individu yang melanggar undang-undang Malaysia," katanya.