KAJANG - Operasi penguatkuasaan dan pemantauan sepanjang Ramadan akan dipergiatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam usaha memastikan premis perniagaan serta bazar Ramadan bebas daripada penglibatan pendatang asing tanpa izin (PATI).Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, JIM akan mengambil tindakan tegas akan diambil bagi memastikan tiada warga asing yang menjalankan perniagaan atau diupah bekerja tanpa permit yang sah di lokasi-lokasi berkenaan.Menurutnya, penguatkuasaan akan diteruskan dan tidak akan berhenti walaupun pada bulan Ramadan."Kita akan mempergiatkan pemeriksaan di kawasan-kawasan bazar Ramadan bagi memastikan ia bebas daripada PATI," katanya kepada pemberita selepas mengetuai Op Selera di Bandar Sungai Long di sini.Tegasnya, majikan diberi amaran keras agar tidak menggajikan atau melindungi warga asing yang melanggar undang-undang bagi mengelakkan mereka berdepan tindakan yang dikuatkuasakan di bawah JIM.Mengulas mengenai statistik di seluruh negara, Lokman berkata, bagi tempoh tahun ini bermula 1 Januari hingga 13 Februari, JIM telah melaksanakan sebanyak 1,700 operasi penguatkuasaan.Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 27,000 warga asing telah diperiksa dan hasilnya, seramai 6,200 individu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen."Dalam tempoh yang sama, seramai 230 majikan turut ditahan kerana melanggar peruntukan di bawah Akta Imigresen, manakala pecahan warga asing tertinggi yang ditahan melibatkan warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh dan China," ujarnya.Dalam perkembangan lain, Op Selera pada Jumaat yang dijalankan di sebuah pusat perniagaan di Sungai Long merekodkan penahanan seramai 51 warga asing selepas pemeriksaan dilakukan ke atas 463 individu.Jelasnya, tangkapan melibatkan 40 lelaki dan 11 wanita berusia antara 21 hingga 36 tahun, yang terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh."Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuklah ketiadaan dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa serta penyalahgunaan pas atau permit, termasuk pemegang permit sektor perladangan yang dikesan bekerja sebagai pelayan restoran."Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen KLIA untuk tindakan lanjut," katanya.