Kita tonjolkan hasil kerja, biar rakyat menilai - PKR Kedah

SUNGAI PETANI– Pendekatan politik berasaskan pencapaian dan keberhasilan menjadi teras perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam mendepani landskap politik semasa khususnya di negeri Kedah.Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, parti itu bukan sekadar membawa slogan sebaliknya mahu menampilkan politik masa depan yang berteraskan prestasi dan pelaksanaan.Menurutnya, pendekatan tersebut selari dengan kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan keutamaan tadbir urus baik serta kestabilan ekonomi negara."Bagi saya sekarang ini pendekatan politik yang dibawa oleh PKR adalah parti masa depan."Politik yang ingin kita dekati hari ini ialah politik pelaksanaan dan politik prestasi. Kita mahu tonjolkan hasil kerja, kemudian biar rakyat yang menilai," katanya pada Sabtu.Beliau yang Juga Menteri Belia dan Sukan ditemui selepas merasmikan Kalendar Mega Rakan Muda 2026 dan Program Jelajah Rakan Muda di Mydin Taman Batik, di sini.Dr Mohammed Taufiq berkata demikian ketika diminta mengulas seruan Presiden parti supaya jentera di peringkat negeri terus diperkukuhkan, khususnya di Kedah yang merupakan kubu awal kuat PKR sebelum ini.Jelas Ahli Parlimen Sungai Petani itu, pencapaian ekonomi negara sejak tiga tahun kebelakangan ini membuktikan pendekatan Kerajaan Madani di bawah Pakatan Hadapan (PH) berada di landasan tepat antaranya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberangsangkan, kadar inflasi yang menurun serta pengangguran yang semakin berkurang."Ini menunjukkan politik prestasi mengatasi politik retorik. Rakyat hari ini lebih matang dan menilai berdasarkan hasil, bukan sekadar naratif," ujarnya.Tambahnya, usaha memperkukuh parti tidak hanya bergantung kepada ceramah atau retorik politik, sebaliknya memerlukan gerak kerja tersusun di peringkat akar umbi.Katanya lagi, golongan muda menjadi antara fokus utama parti dalam membentuk masa depan negara dan pendekatan yang inklusif perlu dilaksanakan."Kita perlu turun ke bawah, kuatkan jentera dan pastikan agenda parti sampai kepada rakyat. Politik identiti dan politik perpecahan tidak akan berkekalan," jelasnya.