'Klinik' haram Bangladesh, ubat bernilai RM56,600 dirampas KKM

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan rampasan 301 jenis ubatan bernilai ⁠RM56,600 hasil serbuan sindiket 'klinik' haram yang didalangi warga Bangladesh di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin di sini pada Jumaat.Serbuan menerusi operasi khas bermula jam 4 petang itu dijalankan pihaknya dengan diketuai Pasukan Taktikal Khas (Pastak) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya.Ketua Cawangan Penguatkuasaan Farmasi WP Kuala Lumpur dan Putrajaya, Shafilliza Samsuri berkata, kesalahan yang dikesan ialah memiliki dan menjual ubat-ubatan tidak berdaftar dgn KKM serta memiliki untuk jualan ubat-ubatan yang mengandungi racun.Menurutnya, sembilan kertas siasatan dibuka di bawah Akta Jualan Dadah 1952 serta Akta Racun 1952."Siasatan awal mendapati sindiket telah lama beroperasi, malah tindakan pendakwaan juga pernah dijalankan beberapa kali sebelum ini."Orang awam disarankan untuk mendapatkan nasihat berkaitan rawatan perubatan daripada profesional kesihatan yang berkelayakan iaitu daripada ahli farmasi dan pengamal perubatan yang berdaftar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.Beliau berkata, pengguna juga dinasihatkan agar memastikan produk kesihatan yang dibeli mempunyai pelekat keselamatan Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) pada label produk sebelum membeli produk berkenaan."Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari www.npra.moh.gov.my di ruangan 'Product Search' atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400."Orang ramai juga digalakkan untuk menyalurkan aduan atau maklumat berkenaan produk kesihatan atau kosmetik yang meragukan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, KKM melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat https://moh.spab.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil," ujarnya.Tegas beliau, tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan hanya produk kesihatan yang sah dan selamat berada dalam pasaran.Sinar Harian sebelum itu melaporkan, antara ubat yang dijual ialah ubat stres dan tahan sakit, antibiotik, kencing manis, panadol, darah tinggi, kolesterol serta gastrik.Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli dilaporkan berkata, seramai 18 lelaki terdiri 17 Bangladeh dan seorang Myanmar ditahan dalam serbuan di sembilan premis yang dipercayai menyasarkan pelanggan di kalangan warga asing khususnya Bangladesh.Menurut Lokman, dipercayai antara peranan warga asing itu ialah 'doktor', penjaga premis selain pelanggan.Premis terbabit beroperasi sangat kompleks iaitu di bahagian hadapan menjual produk kegunaan harian, namun di dalamnya terdapat ruang dan bilik lain yang diubah suai untuk dijadikan klinik haram.Pemeriksaan mendapati terdapat ubat yang dijual sepatutnya memerlukan preskripsi doktor pakar dan tidak sewenangnya dijual selain dimiliki dalam kuantiti banyak oleh seseorang individu.Dipercayai kebanyakan ubat itu dibawa masuk warga Bangladesh yang datang sebagai pelancong sebelum dihantar ke premis terbabit.