'Ayah dalam penjara, saya teringin beraya dengan keluarga’

SHAH ALAM - "Walaupun ayah masih berada di penjara, saya teringin sambut raya dengan semua ahli keluarga," kata seorang remaja perempuan yang merupakan Penghuni Pertubuhan Kebajikan Ehsan As Shakur (PEKEAS), Rawang.Remaja yang dikenali sebagai Hanim itu berkata, setiap kali tibanya Syawal, perkara pertama terlintas di fikirannya adalah keinginan untuk berkumpul bersama ibu, ayah serta adik-beradiknya seperti keluarga lain.Ujar anak kedua daripada empat beradik itu, dia sudah tidak bertemu bapanya sejak lelaki tersebut dipenjarakan lima tahun lalu selepas didapati bersalah atas kesalahan berkaitan dadah.Menurut Hanim, kehidupannya di rumah anak yatim bermula sejak dia berusia tujuh tahun sebelum kembali menetap bersama keluarga ketika berumur 15 tahun."Ketika saya tinggal bersama keluarga selama setahun itu, ayah masih ada bersama kami. Waktu itu saya berumur 11 tahun."Namun apabila saya kembali menetap di asrama (rumah anak yatim), ayah telah dimasukkan ke penjara. Ketika itu saya baru hendak memasuki darjah enam, sekitar umur 12 tahun," katanya ketika ditemui Sinar Harian dalam program Iftar Majlis Berbuka Puasa Igunner Malaysian Football Community bersama anak-anak yatim, tahfiz dan bekas pesakit kanser pada Sabtu.Kata remaja berusia 16 tahun itu, walaupun ibunya tidak pernah menjelaskan secara terperinci punca penahanan tersebut, namun dia mengetahui perkara sebenar kerana telah menyaksikan sendiri situasi yang berlaku sejak kecil."Kami pernah nampak dan tahu apa yang ayah lakukan. Ayah bukan mengambil dadah, tetapi menjual dadah, disebabkan perkara itu juga antara sebab saya dimasukkan ke asrama."Sekarang ini, ibu saya tidak mempunyai rumah sendiri dan menetap dengan di rumah ibu saudara saya di Selayang. Jadi jika pulang beraya tahun ini, kami akan menyambutnya di sana," ujarnya.Sementara itu, seorang lagi penghuni PEKEAS yang dikenali sebagai Akmal berkata, pengalaman menyambut Aidilfitri bersama ahli keluarga sememangnya berbeza berbanding di rumah anak yatim kerana ia memberi peluang bertemu semula serta mengeratkan hubungan silaturahim dengan saudara-mara lain.Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, ketika berusia empat tahun, ibu kandungnya meninggal dunia akibat kanser payudara, manakala bapanya berkahwin semula setahun selepas itu.Remaja berusia 16 tahun itu berkata, peluang untuk berjumpa dengan ahli keluarga menjadi lebih sukar apabila dia dimasukkan ke rumah anak yatim pada usia 10 tahun oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) susulan masalah keluarga."Puncanya ayah pukul kakak sebab berjumpa dengan teman lelaki. Jiran nampak kejadian itu, terus lapor (pada pihak berkuasa) sebelum JKM ambil saya dan bawa ke rumah anak yatim."Kedua-dua kakak saya yang berusia 23 dan 22 tahun sekarang ini sedang melanjutkan pengajian di universiti, manakala dua lagi adik-beradik berumur 13 dan 15 tahun masih di bawah jagaan keluarga ayah."Bagi saya pula, jika keluarga ayah membawa saya pulang untuk beraya tahun ini, maka dapatlah saya menyambut Aidilfitri bersama mereka. Itu pun bergantung kepada keadaan," ujarnya.Dalam pada itu, Presiden iGunner Malaysian Football Community, Rosesilawati Mohamed Ali berkata, penganjuran program kali ke-11 ini menghimpukan seramai 116 orang anak yatim daripada tiga buah rumah anak yatim dan satu pusat tahfiz."Tahun ini program berkenaan bukan sekadar berbuka puasa, malah turut diisi dengan tazkirah Ramadan serta penyampaian sumbangan kepada semua penerima sebagai tanda penghargaan dan usaha meraikan mereka," ujarnya.