'Anak usia 6 tahun disahkan hidap kanser tulang'

KUALA LUMPUR – Seorang ibu terpaksa menyambut Aidilfitri secara sederhana di rumah transit, Home of Hope bagi pesakit kanser kanak-kanak demi memastikan anak bongsunya dapat menjalani rawatan kemoterapi dengan lebih mudah.Lizawati Monip berkata, anak keempatnya, Nur Syamiza Humairah Azmi, 6, disahkan menghidap kanser tulang jenis 'Ewing Sarcoma' pada 8 Januari lalu.Disebabkan itu, dia terpaksa berjauhan dengan tiga anaknya yang lain bagi menemani anak perempuannya menjalani rawatan di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur."Memang sangat sedih sebab terpaksa berjauhan dengan anak-anak lain yang ditinggalkan di Gelang Patah, Johor."Oleh itu tahun ini Aidilfitri kami sambut seadanya sahaja kerana saya perlu berada di sini menemani anak menjalani rawatan," katanya kepada Sinar Harian.Lizawati memaklumkan, pada awalnya Nur Syamiza Humairah menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru sebelum dipindahkan ke HTA untuk rawatan lanjut.Justeru ujarnya, kemudahan rumah transit yang disediakan untuk pesakit kanser kanak-kanak di hospital berkenaan banyak membantu memudahkan urusan rawatan anaknya."Sepanjang rawatan dijalankan, saya pernah berdepan detik mencemaskan apabila Nur Syamiza diserang sawan ketika menjalani kemoterapi sehingga terpaksa ditidurkan selama empat hari di Unit Rawatan Rapi (ICU)."Disebabkan rawatan kemoterapi mengambil masa yang panjang, saya terpaksa tinggal di rumah transit di sini supaya lebih mudah untuk anak menjalani rawatan di HTA," ujarnya.Suri rumah itu memberitahu, keadaan kesihatan anaknya juga menyebabkan kanak-kanak itu sering hilang selera makan selain kerap mengadu sakit perut.Bagi memberi semangat, Lizawati berkata, dia akan memberi ganjaran kecil setiap kali anaknya kuat menghadapi kesakitan ketika menjalani rawatan.Namun di sudut hati wanita berumur 40 tahun itu, dia mengakui berasa terkilan dan sedih kerana tidak dapat menyediakan juadah hari raya seperti kebiasaan buat suami dan anak-anak lain di kampung."Walaupun terpaksa menyambut Aidilfitri dalam keadaan sederhana, saya tetap berharap agar Nur Syamiza Hmairah diberi kesembuhan."Harapan saya hanya satu, semoga ALLAH angkat segala penyakit dia," katanya.