Jual bunga api dan mercun sebulan, untung cecah enam angka

KUALA KRAI - Selain baju dan biskut raya, bunga api serta mercun menjadi antara barangan yang sanggup dibelanja oleh orang ramai bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri.Situasi itu menyebabkan ejen serta peniaga yang menjual barangan itu mampu meraih keuntungan mencecah enam angka hanya dalam tempoh sebulan sekali gus memberi ‘durian runtuh’.Perkara itu diakui sendiri oleh Mohamad Hafiz Omar, 27, ejen bunga api dan mercun dari Guchil di sini yang mendedahkan permintaan terhadap barangan itu meningkat berkali ganda terutama pada minggu terakhir Ramadan.Menurutnya, pelanggan biasanya membeli dalam jumlah besar bagi dimainkan bersama keluarga dan saudara-mara sebagai tradisi menyambut malam raya."Ada pelanggan yang sanggup berbelanja sehingga RM4,000 dalam satu resit bagi membeli pelbagai jenis bunga api dan mercun semata-mata untuk memeriahkan malam satu Syawal."Kebanyakan pelanggan tidak berkira dan memberitahu ia adalah satu bentuk hiburan buat mereka selain sibuk membuat persiapan raya yang lain," katanya kepada Sinar Harian.Mohamad Hafiz yang hampir sedekad berkecimpung dalam perniagaan itu berkata, kelonggaran kerajaan yang membenarkan semula penjualan bunga api dan mercun secara sah sejak beberapa tahun lalu turut membantu merancakkan industri berkenaan.Beliau yang juga pemilik SMSM Firework berkata, musim perayaan seperti Aidilfitri menjadi waktu paling sibuk kepada peniaga kerana permintaan meningkat secara mendadak."Kadang-kadang stok habis lebih awal dan sukar untuk menambah bekalan kerana permintaan terlalu tinggi. Sehingga ada peniaga yang hanya mampu berputih mata kerana stok licin."Harga bunga api dan mercun pula bermula 50 sen hingga RM2,000 dan setakat ini pelanggan jarang merungut mengenainya," ujarnya.Ketika ini beliau mempunyai kira-kira 25 peruncit dan penjaja di seluruh Kelantan yang menjual bunga api dan mercun sekali gus membuka peluang kepada ramai pihak menjana pendapatan sampingan.Katanya, ketika ini hanya 36 jenis bunga api dan mercun diluluskan untuk dijual di pasaran dan semuanya dikategorikan sebagai tidak berbahaya jika digunakan mengikut arahan."Dua kategori utama yang dibenarkan dijual ialah jenama Happy Boom dan Pop-Pop yang merangkumi pelbagai jenis bunga api serta mercun yang lebih selamat digunakan," katanya.Dalam pada itu, Mohamad Hafiz menegaskan sebagai peniaga berlesen mereka sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin.Katanya, kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) boleh menyebabkan lesen ditarik balik dan menjejaskan perniagaan pada masa hadapan.