SHAH ALAM - Rusa, kijang, pelanduk, ayam hutan dan landak antara spesies hidupan liar dilindungi yang menjadi sasaran pemburu haram pada musim perayaan.Daging spesies ini lazimnya dijadikan hidangan istimewa seperti rendang atau daging masak hitam kerana dikatakan mempunyai rasa yang lebih enak berbanding daging lembu atau kerbau.Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kebiasaannya, juadah berasaskan hidupan liar ini disediakan secara terhad untuk dihidangkan kepada ahli keluarga dan kenalan rapat sempena sambutan perayaan.Menurutnya, modus operandi bagi aktiviti pemburuan hidupan liar semasa musim perayaan ini dijalankan seminggu sebelum bulan Ramadan sehingga menjelang Hari Raya Aidilfitri."Aktiviti ini dikesan dilakukan sama ada secara kumpulan kecil yang terdiri daripada dua hingga empat individu atau secara perseorangan."Kebiasaannya, daging hidupan liar yang diperoleh adalah untuk kegunaan sendiri, namun ada juga hasil buruan berkenaan dijual secara tertutup kepada kenalan terdekat," katanya kepada Sinar Harian.Beliau berkata, Perhilitan percaya bahawa kegiatan pemburuan hidupan liar masih berlaku dan berpotensi meningkat semasa musim perayaan.Katanya, bagaimanapun, jabatan ini komited dalam membanteras aktiviti pemburuan haram dengan mempergiat aktiviti rondaan dan operasi penguatkuasaan oleh kakitangan serta Renjer Komuniti (RK), khususnya di kawasan hotspot yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi berlakunya aktiviti pemburuan haram."Berdasarkan maklumat jabatan, lazimnya daging hidupan liar yang diperoleh ini dimasak sendiri oleh individu."Tapi kita tidak menolak kemungkinan terdapat restoran eksotik yang menyediakan juadah ini secara tertutup dan eksklusif kepada pelanggan tetap sahaja," ujarnya.Tambah Abdul Kadir, berdasarkan statistik pihaknya, terdapat satu kes melibatkan aktiviti pemburuan haram dan satu kes menyimpan spesies hidupan liar yang menjadi hidangan semasa musim perayaan pada tahun lalu."Antara senarai rampasan ialah tiga bahagian daging kijang, seekor landak raya, seekor napoh dan seekor pelanduk."Seramai tiga individu telah ditahan dimana nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM11,000," ujarnya.Tegas beliau, Perhilitan menyeru mereka yang terlibat kepada jenayah ini untuk menghentikan kegiatan ini."Bagi orang awam yang mengetahui kegiatan ini mohon salurkan maklumat kepada jabatan melalui Talian Hotline Jabatan Perhilitan di talian 1800-88-5151 atau melalui e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," ujarnya.Jelas Abdul Kadir, pihaknya memberi amaran tegas kepada mana-mana individu yang masih dalam kegiatan jenayah ini, khususnya pemburuan haram supaya menghentikan aktiviti tersebut dengan segera atau akan berdepan dengan tindakan undang-undang yang berat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].