SHAH ALAM – Hasrat seorang wanita untuk menunaikan umrah bersama suami yang pernah dipendam ketika mengembara secara solo akhirnya menjadi kenyataan selepas bertemu jodoh ketika dalam perjalanan kayuhan basikal merentas beberapa negara.Pengembara basikal dari Malaysia, Maslinda Supandi, 39, berkata, dia mula berbasikal secara solo pada tahun 2016 dengan memulakan pengembaraan selama tiga bulan di New Zealand.Menurutnya, selepas pulang ke Malaysia, dia merancang perjalanan lebih jauh dengan mengayuh basikal dari China menuju ke Turkiye yang mengambil masa kira-kira setahun setengah."Sepanjang kayuhan solo itu, setiap kali orang bertanya sama ada saya mengembara seorang diri, saya akan kata bersama suami."Saya beritahu suami berada di hadapan kerana tidak mahu orang tahu saya berkayuh seorang diri di kawasan luar bandar," katanya menerusi perkongsian di Instagram.Berkongsi lebih lanjut kepada Sinar Harian, anak kelahiran Klang, Selangor itu berkata, ketika berada di Iran, dia pernah terfikir untuk ke Arab Saudi bagi menunaikan umrah, namun ketika itu kemasukan wanita ke negara tersebut memerlukan mahram."Jadi saya hanya berdoa dalam hati, insya-ALLAH kalau ada rezeki suatu hari nanti saya akan sampai juga ke Makkah untuk buat umrah bersama suami walaupun ketika itu jodoh pun belum nampak bayang," katanya yang menyambut Hari Raya Aidilfitri ini di Arab Saudi.Perjalanan kayuhan tersebut akhirnya membawa Maslinda ke Turkiye sebelum beliau bertemu semula dengan seorang kenalan, Giacomo Venturell, 39, yang ketika itu sedang mengembara secara berjalan kaki di Greece.Menurutnya, mereka sebenarnya pernah bertemu sebelum itu di Kuala Lumpur, namun sekadar sebagai kawan sebelum merancang untuk berjumpa di Kas, Turkiye dan dari situ bermulalah kisah mereka."Kami berkahwin pada tahun 2019 sebelum menghabiskan bulan madu dengan mengayuh basikal bersama dari Ushuaia, Argentina sehingga ke Mexico. Selepas berehat selama dua tahun untuk bekerja dan mengumpul wang, kami menyambung semula pengembaraan dengan mengayuh basikal merentasi benua Afrika."Kami berkayuh dari Maghribi ke Ivory Coast sebelum meneruskan perjalanan dari Namibia hingga ke Kenya selama kira-kira setahun dua bulan."Selepas tamat pengembaraan di Afrika, kami terbang ke Riyadh sebelum meneruskan perjalanan ke Al Ula dan berkayuh ke Madinah. Selesai menziarahi pusara Rasulullah SAW di Masjid Nabawi, saya terus membuat keputusan untuk ke Makkah bagi menunaikan umrah, Alhamdulillah umrah bersama suami," katanya yang memaklumkan keluarganya di Malaysia sentiasa menyokong dan berbangga dengan kembaranya itu.