SHAH ALAM – Hidangan tradisional Hari Raya seperti rendang, lemang dan ketupat sememangnya menjadi kegemaran ramai, namun kebanyakannya mengandungi lemak, gula serta kalori yang tinggi jika diambil secara berlebihan.Senior Dietitian Hospital Pantai Sungai Petani, Norhayati Samsuddin berkata, makanan tradisional tersebut boleh dinikmati ketika musim perayaan, namun pengambilannya perlu dikawal bagi mengelakkan kesan terhadap kesihatan."Makanan tradisional hari raya seperti rendang, lemang, ketupat dan pelbagai kuih raya memang lazat, tetapi kebanyakannya mengandungi lemak, gula dan kalori yang tinggi."Jika diambil secara berlebihan dalam tempoh singkat, beberapa kesan kesihatan boleh berlaku," katanya kepada Sinar Harian.Beliau berkata, antara kesan yang mungkin dialami termasuklah peningkatan paras gula dalam darah terutamanya bagi individu yang mempunyai atau berisiko menghidap diabetes mellitus.Jelas Norhayati, pengambilan kuih raya serta makanan berkarbohidrat tinggi boleh menyebabkan lonjakan gula darah dengan cepat.Kongsi beliau, makan terlalu banyak makanan berlemak dan berat juga boleh menyebabkan gangguan sistem penghadaman seperti kembung perut, pedih ulu hati atau keradangan perut.Menurutnya, makanan yang tinggi lemak dan garam juga boleh menyebabkan tekanan darah meningkat terutama bagi individu yang mempunyai masalah hipertensi.Tambahnya, pengambilan kalori tinggi dalam masa singkat juga boleh menyebabkan lebihan tenaga disimpan sebagai lemak sekali gus meningkatkan risiko obesiti."Selain itu, makan terlalu banyak makanan berat dalam satu masa juga boleh menyebabkan badan berasa lesu, mengantuk dan tidak selesa," ujarnya lagi.Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengawal saiz hidangan ketika menikmati hidangan perayaan."Ketika menghadiri rumah terbuka, kita masih boleh menikmati hidangan perayaan sambil mengekalkan pemakanan yang sihat khususnya kawal saiz hidangan."Ambil hidangan dalam kuantiti kecil atau sederhana, hadkan kuih-muih manis serta kurangkan minuman bergula seperti sirap atau minuman berkarbonat," menurutnya.Norhayati turut mengingatkan orang ramai supaya menimbangi hidangan dengan lebih banyak sayur-sayuran, buah-buahan atau ulam-ulaman bagi memastikan pemakanan lebih seimbang."Kuih-muih dan pencuci mulut seperti Kuih Raya biasanya tinggi gula dan kalori. Ambil sedikit sahaja sekadar merasa. Pilih air kosong atau minuman kurang gula berbanding minuman manis seperti sirap atau minuman berkarbonat."Antara lain, mengunyah makanan secara perlahan membantu proses penghadaman dan memberi masa kepada badan untuk rasa kenyang, sekali gus mengelakkan makan berlebihan," menurutnya lagi.Beliau turut menggalakkan orang ramai mengekalkan gaya hidup aktif seperti berjalan kaki atau melakukan aktiviti ringan bagi membantu membakar kalori sepanjang musim perayaan.Menurutnya, dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan gaya hidup aktif, masyarakat masih boleh menikmati kemeriahan Hari Raya tanpa menjejaskan kesihatan."Dengan mengamalkan prinsip sederhana, seimbang, dan aktif, kita boleh menikmati kemeriahan Hari Raya tanpa menjejaskan kesihatan, serta mengurangkan risiko penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, obesiti dan penyakit jantung," jelasnya lagi.