SHAH ALAM – Difitnah menghidap autisme oleh bekas isterinya di laman sosial lima tahun lalu, bukan sahaja mencalar maruah, malah memberi tekanan emosi yang besar kepada seorang lelaki yang juga bapa kepada tiga anak.Bagaimanapun, selepas melalui proses mahkamah yang panjang, bapa tunggal berusia 42 tahun itu akhirnya memperoleh keadilan apabila Mahkamah Tinggi di sini memutuskan dakwaan tersebut sebagai fitnah.Menurutnya, perkara paling penting bukan sekadar kemenangan di mahkamah, sebaliknya hakikat bahawa, kebenaran akhirnya berjaya ditegakkan.Kejayaan itu sekali gus membuka ruang untuk meneruskan kehidupan dengan lebih tenang bersama anak-anak di bawah jagaannya, selain memastikan mereka tidak terkesan dengan konflik yang berlaku.Selain itu katanya, perkara utama yang perlu diutamakan ialah memastikan mereka tetap mendapat perhatian, kasih sayang."Proses mahkamah yang mengambil masa terlalu lama, memerlukan kekuatan mental dan kesabaran yang tinggi."Masa sama, saya juga perlu memastikan anak-anak tetap menjalani kehidupan yang stabil dan tidak terbeban dengan perkara yang berlaku," katanya.Mengimbau pengalaman selepas penceraian, lelaki itu berkata, perjalanan hidupnya banyak berubah selepas bergelar duda.Bagaimanapun katanya, pengalaman tersebut telah mengajarnya bahawa kehidupan tidak berhenti hanya kerana berakhir sebuah perkahwinan."Setiap ujian sebenarnya memberi ruang untuk kita membina semula diri dengan lebih matang."Kita belajar supaya lebih berhati-hati dan lebih menghargai perkara yang benar-benar penting dalam hidup seperti keluarga, integriti dan ketenangan," katanya.Beliau berkata, tanggungjawab sebagai bapa kepada tiga anak yang berada dalam jagaannya melalui pelaksanaan perintah hadhanah kekal menjadi sumber kekuatan utama untuk terus melangkah ke hadapan.Justeru lelaki itu mengakui sambutan Aidilfitri tahun ini membawa makna yang jauh lebih mendalam.Katanya, Syawal bukan sekadar meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, malah simbol kelegaan selepas melalui ujian hidup yang mencabar."Saya melihatnya sebagai peluang untuk memulakan lembaran baru dengan hati yang lebih tenang dan bermaruah," katanya.Dalam pada itu, lelaki berkenaan turut berkongsi pengajaran paling besar yang dipelajari sepanjang melalui episod penceraian dan kes saman fitnah tersebut.Beliau berkata, sokongan keluarga dan sahabat di sekelilingnya, memainkan peranan penting ketika seseorang berdepan tempoh sukar.Selain itu, katanya, usaha untuk mendekatkan diri kepada ALLAH turut menjadi kekuatan dalam membantunya melalui ujian tersebut.Beliau turut menitipkan nasihat kepada lelaki lain yang mungkin berdepan situasi sama dengan tidak berputus asa atau bertindak mengikut emosi."Kita perlu menghadapi situasi dengan tenang, mendapatkan nasihat undang-undang yang tepat dan terus menjalankan tanggungjawab sebagai bapa serta individu yang berintegriti."Saya juga berharap masyarakat dapat lebih terbuka dalam melihat isu penceraian dan tidak terus meletakkan kesalahan kepada satu pihak sahaja."Perpisahan bukan penamat kehidupan kerana perkara yang penting ialah terus fokus ke hadapan dan melakukan yang terbaik untuk anak-anak serta diri sendiri," katanya.Pada 25 Februari lalu, bekas isterinya, yang juga penyelia, gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi di sini untuk mengetepikan keputusan yang memerintahkannya membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kerana memfitnah.Hakim, Noor Hayati Mat memutuskan demikian selepas menolak rayuan wanita berusia 40 tahun itu selaku perayu dengan kos sebanyak RM5,000.Beliau pada masa itu diwakili peguam, Siti Noryani Samsuddin dari Tetuan Noryani Ar Rais.Dalam pada itu, lelaki itu menasihati masyarakat, agar tidak terburu-buru dalam membuat penilaian hanya berdasarkan satu pihak atau apa yang tular di media sosial.Katanya, setiap masalah rumah tangga merupakan isu kompleks kerana melibatkan dua pihak yang sama-sama dewasa dan bertanggungjawab atas pilihan masing-masing."Berilah ruang kepada proses undang-undang untuk menentukan kebenaran."Fitnah dan penyebaran tanpa fakta boleh memberi kesan besar kepada kehidupan seseorang dan keluarganya," kata bapa tunggal tersebut.