Arteta cabar pemain Arsenal tamat kemarau trofi

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta, mencabar barisan pemainnya untuk membuktikan keupayaan mereka menjulang trofi sulung musim ini apabila berdepan Manchester City dalam aksi final Piala Liga di Stadium Wembley, tengah malam ini.The Gunners bakal melangkah ke perlawanan akhir kejohanan utama buat kali pertama dalam tempoh enam tahun. Malah, mereka kini sedang memburu gelaran 'quadruple' yang bersejarah dengan Piala Liga menjadi sasaran pertama untuk dibawa pulang ke Stadium Emirates."Ini adalah salah satu momen penentu kerana pada akhirnya, yang paling penting adalah sama ada anda memenangi trofi atau tidak. Itu adalah perkara utama apabila anda berjaya sampai ke final."Namun, untuk berada di sini, anda perlu melakukan banyak perkara dan bekerja keras seperti yang telah dilakukan pasukan setakat ini. Jadi, kami perlu membuktikannya di atas padang," katanya dalam sidang akhbar praperlawanan.Menurut pengendali kelahiran Sepanyol itu, walaupun pasukannya menunjukkan perkembangan positif, tugas utama masih belum selesai."Masih banyak yang perlu dilakukan, tetapi kami sangat teruja dengan apa yang kami usahakan sekarang. Kami perlu terus mengorak langkah yang betul, terutamanya mempamerkan aksi terbaik apabila tiba saat penting seperti ini," jelasnya lagi.Pertembungan itu juga melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya dua pasukan teratas dalam saingan Liga Perdana Inggeris bertemu di final Piala Liga, sekali gus menambah prestij perlawanan tersebut.Bagi Arsenal, misi mereka cukup jelas. Kelab London Utara itu tidak pernah menjulang trofi ini sejak 1993. Dengan tempoh enam tahun tanpa sebarang kejuaraan utama, tekanan untuk menang kini semakin dirasai.Arteta bagaimanapun tidak mahu melarikan diri daripada realiti tersebut."Apabila anda berada di kedudukan ini setelah bertahun-tahun tanpa trofi, ia sudah tentu menambah rasa 'terdesak' (necessity), tetapi dalam masa yang sama memberikan dorongan lebih kuat kerana anda benar-benar mahukannya."Itulah yang kami rasakan sekarang. Ia adalah sesuatu yang sangat penting bagi kami dan sesuatu yang kami cuba capai sejak sekian lama. Sekarang kami mempunyai peluang itu," tegasnya.Arteta juga percaya bahawa bersaing dalam empat kejohanan sehingga hujung Mac membuktikan kualiti mentaliti pemainnya. Namun, beliau menegaskan kepentingan membuat keputusan tepat dalam perlawanan akhir."Pada saat penentu, anda memerlukan detik-detik tertentu yang memihak kepada anda. Anda perlu memastikan ia berlaku melalui cara anda mendekati permainan dan membuat keputusan yang akan memberi impak besar kepada perlawanan," katanya.