Pemandu bas kongsi rezeki, penumpang dapat duit raya

SHAH ALAM – Di sebalik kesibukan ribuan perantau pulang ke kampung halaman setiap kali musim perayaan, terselit kisah seorang pemandu bas yang mencuri perhatian apabila berkongsi rezeki dengan penumpang.Mohamad Hafiz Idris, 36, berkata pengalaman membawa bas ekspres bukan sekadar menghantar penumpang ke destinasi, sebaliknya menjadi ruang untuk menyebarkan kebaikan.Menurutnya, sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun ini, dia mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan bas tambahan bagi laluan Kuala Terengganu ke Pulau Pinang selama empat hari berturut-turut bermula 16 Mac hingga 19 Mac."Setiap hari saya buat dua perjalanan, pagi ke Pulau Pinang dan malam balik ke Kuala Terengganu."Memang penat, tetapi seronok sebab dapat bantu orang balik kampung," katanya kepada Sinar Harian.Mohamad Hafiz juga menggunakan wang sendiri untuk menyediakan air mineral kepada penumpang sepanjang tiga hari pertama perkhidmatan tersebut.Katanya, pada hari terakhir, dia melakukan sesuatu yang lebih istimewa apabila memberi duit raya kepada setiap penumpang sebagai tanda berkongsi rezeki."Saya dah niat dari awal. Walaupun nilainya tak besar, saya harap dapat menggembirakan penumpang."Bagi saya, yang penting usaha untuk berkongsi itu," ujarnya.Tindakan spontan itu mendapat reaksi positif apabila ramai penumpang menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai sesuatu yang jarang dilakukan.Berkongsi lanjut, Mohamad Hafiz yang sudah 14 tahun berpengalaman memandu bas berkata kerjaya tersebut kini dilakukan secara sambilan khususnya ketika musim perayaan.Dalam masa yang sama, dia turut aktif menghasilkan kandungan berkaitan dunia pengangkutan bas di platform TikTok sejak tiga tahun lalu, sekali gus membantu mempromosikan syarikat-syarikat bas tempatan."Bagi saya, ini cara untuk kongsi ilmu dan pengalaman. Kadang-kadang benda yang kita rasa kecil, sebenarnya berguna untuk orang lain," ujarnya.