'Duduk sekejap, dapat RM50’

GEORGE TOWN - Suasana lewat petang di sekitar Masjid Kapitan Keling biasanya dipenuhi jemaah yang datang menunaikan solat, pelancong yang mengagumi seni bina bersejarah serta peniaga kecil yang mencari rezeki.Namun di celah kesibukan itu, kelihatan beberapa individu duduk bersandar di kaki lima bangunan, ada yang memegang bekas plastik, membawa beg pakaian, ada juga sekadar menghulurkan tangan setiap kali orang ramai lalu di hadapan mereka.Pemandangan itu seakan menjadi rutin harian di tengah bandar warisan George Town, khususnya apabila tiba bulan Ramadan.Lebih menarik perhatian, sebahagian besar peminta sedekah yang ditemui sebenarnya kelihatan sihat dan masih mampu bekerja.Malah, bagi sesetengah daripada mereka, meminta sedekah dilihat sebagai cara mudah mendapatkan wang dengan cepat tanpa perlu bekerja dalam tempoh yang lama.Lebih menyedihkan, ketika tinjauan dilakukan, seorang wanita yang meminta sedekah di hadapan masjid berkenaan ditemani suaminya.Ketika berbual dengannya, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Yah, 50-an mengakui suaminya akan menghantarnya ke kawasan masjid untuk meminta sedekah hampir setiap hari."Itu suami saya, dia akan hantar saya ke sini dan kawasan sekitar untuk saya kutip duit (minta sedekah). Saya dah biasa sini, lama dah dok sini kutip duit," ujarnya.Katanya, mereka berdua yang tidak dikurniakan zuriat sudah biasa dengan keadaan tersebut."Dah lama tak kerja, inilah kerja kami. Boleh la nak hidup."Bukan tak mahu kerja, tetapi kerja sekarang susah dapat. Suami pun ada usaha nak kerja tetapi tak dapat," katanya berlalu pergi.Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Rahim, 45 mengakui dia datang ke kawasan sekitar masjid hampir setiap hari sejak beberapa bulan lalu."Kalau duduk sini dua tiga jam pun boleh dapat RM40 atau RM50. Ada orang bagi RM1, ada yang bagi RM5."Kadang-kadang lebih," katanya.Rahim mengakui dia pernah bekerja sebagai buruh binaan sebelum ini namun berhenti selepas mendapati hasil meminta sedekah lebih cepat diperoleh."Kerja buruh penat. Sini duduk saja, kalau nasib baik cepat dapat duit," katanya bersahaja.Tidak jauh dari situ, seorang wanita dikenali sebagai Salmah, lewat 50-an dilihat duduk bersama seorang kanak-kanak dipercayai anaknya.Menurutnya, dia datang dari negeri lain dan berada di Pulau Pinang sejak awal tahun ini untuk meminta sedekah di kawasan tersebut."Kalau bulan biasa tak ramai orang tetapi rezeki tetap ada. Tiap-tiap hari ada saja orang bagi sedekah."Tetapi Ramadan lagi ramai yang bagi (sedekah)," katanya.Salmah berkata, kehadiran kanak-kanak bersamanya sering menarik perhatian orang ramai yang lebih mudah bersimpati."Orang tengok anak kecil, mereka bagi duit," katanya.Sementara itu, seorang lagi peminta sedekah, Ahmad, 55, yang ditemui berhampiran laluan masuk masjid mengakui kawasan itu menjadi pilihan kerana ramai pengunjung."Tempat ni orang lalu lalang. Pelancong pun ramai," katanya.Menurut Ahmad, dalam sehari dia mampu memperoleh antara RM30 hingga RM60 bergantung kepada jumlah orang yang datang.Walaupun mengakui masih mampu bekerja, dia berkata meminta sedekah dilihat sebagai cara paling mudah untuk mendapatkan wang."Saya tahu orang kata ini salah, tapi kalau kerja pun belum tentu dapat duit hari-hari," katanya.Fenomena ini bukanlah sesuatu yang baharu. Setiap kali musim perayaan atau Ramadan, jumlah peminta sedekah di sekitar Masjid Kapitan Keling dilihat meningkat dengan ketara.Ada yang datang secara berkumpulan malah ada juga yang dipercayai ‘berkampung’ di sekitar kaki lima bangunan berhampiran bagi memudahkan mereka menjalankan aktiviti tersebut setiap hari.Keadaan ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.Ada yang bersimpati dan tidak sampai hati untuk menolak permintaan mereka, namun tidak kurang juga yang berpendapat amalan memberi sedekah secara terus mungkin menggalakkan budaya bergantung kepada simpati orang ramai.Dalam masa sama, pihak berkuasa termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak berkuasa tempatan sering menjalankan pemantauan serta operasi bagi menasihati peminta sedekah supaya tidak menjadikan aktiviti itu sebagai sumber pendapatan tetap.Namun realitinya, selagi masih ada individu yang memberi, aktiviti meminta sedekah di kawasan tumpuan seperti Masjid Kapitan Keling dijangka terus berlaku.Bagi Yah, Rahim, Salmah dan Ahmad, duduk beberapa jam di kaki lima masjid mungkin sekadar rutin harian.Tetapi bagi masyarakat, ia menjadi gambaran kepada satu fenomena sosial apabila jalan paling mudah untuk mendapatkan wang akhirnya menjadi pilihan.