KLANG – Seorang lelaki berusia 32 tahun melalui detik hitam apabila ibunya meninggal dunia sehari sebelum dia ditahan akibat pengambilan dadah pada 2019.Lokman (bukan nama sebenar) berkata, kehilangan insan tersayang itu menjadi titik paling menyedihkan dalam hidupnya lebih-lebih lagi apabila dia sendiri bergelut dengan masalah ketagihan pil kuda ketika itu."Saya memang sempat uruskan jenazah, tapi bila kena tahan dengan polis, tiba-tiba rasa sedih lebih-lebih lagi baru sehari kehilangan mak yang dijemput Ilahi," katanya ketika ditemui Sinar Harian.Menurutnya, sejak itu kehidupannya semakin tidak terarah sehingga tujuh kali keluar masuk penjara.Anak keenam daripada tujuh beradik itu mengakui, tekanan hidup termasuk putus tunang menjadi antara punca dia terjebak dengan dadah sebelum keadaan bertambah buruk akibat pengaruh rakan."Lepas putus tunang, memang dunia rasa kosong dan kawan mula perkenalkan pil kuda kata mereka boleh hilangkan stres dan dari situ saya mula ketagih," ujarnya.Lokman berkata, pengalaman menyambut Aidilfitri di penjara antara kenangan paling memilukan apabila terpaksa berjauhan daripada keluarga."Waktu pagi raya paling terasa terutama bila dengar lagu raya sedih, teringat arwah mak dan ayah," katanya.Menurutnya, dia kini menjalani program pemulihan dan mendapat sokongan rakan-rakan senasib yang turut berusaha meninggalkan masa silam."Saya tekad untuk mengubah kehidupan dan tidak mahu lagi kembali ke jalan lama sebab nak hidup macam orang lain, ada keluarga dan masa depan."Raya tahun ini pun saya tak balik kampung sebab betul-betul nak berubah sepenuhnya," katanya yang bekerja di sebuah syarikat kurier di daerah ini.Lebih menggembirakan, Lokman berkata, dia sudah mempunyai calon pasangan hidup dan merancang untuk mendirikan rumah tangga tahun depan."Saya rancang hendak berkahwin, tapi kena kumpul duit dulu sebelum mulakan hidup baru," tambahnya.Seorang lagi bekas banduan, Adam (bukan nama sebenar), 27, berkata, dia tekad membuka lembaran baharu selepas dibebaskan dari penjara pada Februari lalu sekali gus meninggalkan sejarah hitam yang menyaksikan dia lapan kali keluar masuk penjara sejak usia 18 tahun.Adam yang berasal dari Alor Setar, Kedah berkata, ketagihan dadah jenis syabu dan ganja selain terlibat dalam jenayah menjadi punca utama dia berulang kali ditahan pihak berkuasa.Lebih menyentuh perasaan, Adam berkata, bapanya meninggal dunia pada 2018, meninggalkan ibunya sebagai tempat bergantung yang kini semakin berusia."Mak ada lagi, manakala ayah sudah meninggal dunia, tapi saya tak mahu selamanya hidup sebagai penagih, sebaliknya hendak jaga dan berbakti untuk mak sepanjang hayat," katanya.Anak sulung daripada enam beradik itu mengakui pengalaman menyambut Aidilfitri di penjara menjadi detik yang sukar dilupakan."Hari pertama raya memang air mata mengalir. Kita teringat keluarga terutama mak," katanya.Menurutnya, suasana pagi raya di sebalik tirai besi membuatkan dia lebih banyak berdiam diri dan menahan perasaan."Duduk saja dalam sel, memang rasa sedih dan saya akui tak banyak bercakap, sebaliknya menahan air mata," ujarnya.Adam berkata, peluang beraya bersama keluarga sebelum ini digunakan untuk memohon maaf atas segala kesilapan lalu, namun tahun ini dia nekad untuk berubah sepenuhnya.*Kali ini saya betul-betul nak buang perangai lama, buka buku baharu dan hidup normal macam orang lain," katanya.Tambahnya, dia kini memberi fokus untuk mencari rezeki dan mengumpul wang sebagai persediaan membina kehidupan lebih stabil."Saya nak kumpul duit dulu, jaga mak dan bantu ahli keluarga lain, namun paling penting memang nak berubah ke arah kebaikan," jelasnya.Adam berkata, dia hanya mengimpikan kehidupan sederhana termasuk dapat menikmati juadah Aidilfitri bersama keluarga."Kalau raya saya teringin makan ketupat dan rendang dengan keluarga, menu ini pun dah cukup," katanya.Sementara itu, wakil syarikat penempatan pekerjaan, Mohd Safri Umar berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Penjara menyediakan kemudahan penginapan dan makanan harian kepada bekas banduan.Jelas beliau, perkara paling utama adalah membantu golongan itu mendapatkan pekerjaan yang sah dan bersesuaian."Mereka juga layak diberi peluang kedua bagi memastikan tidak kembali terjebak dengan kesalahan lampau yang pernah dilakukan sebelum ini," tambah beliau.Lokman (kiri) dan Adam (kanan) tekad membuka lembaran baharu dalam hidup masing-masing untuk menjadi lebih baik pada masa depan.