SHAH ALAM - Tindakan Penasihat DAP, Lim Guan Eng yang membangkitkan pelbagai isu berkaitan Pulau Pinang dipercayai bertujuan mengekalkan imejnya sebagai pemimpin yang dekat dengan rakyat.Penganalisis sosiopolitik, Datuk M Periasamy berkata, langkah tersebut juga dilihat sebagai usaha memastikan legasi politik tokoh itu terus kekal relevan dalam kalangan warga negeri berkenaan.Malah beliau berkata, situasi berkenaan berlaku ketika Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow kini dilihat lebih popular dalam konteks pentadbiran kerajaan negeri."Kon Yeow diterima baik kerana pendekatan beliau yang lebih mesra rakyat berbilang kaum, sekali gus memberi kelebihan dari segi sokongan semasa."Keadaan ini menimbulkan kebimbangan kepada Guan Eng bahawa peranannya sebagai pemimpin terdahulu mungkin semakin kurang diingati rakyat," katanya kepada Sinar Harian.Pada Sabtu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilapor meminta Guan Eng dan Kon Yeow menghentikan perbalahan secara terbuka berhubung isu cukai tanah negeri itu.Anthony berkata, kepimpinan pusat DAP amat bimbang dengan perbalahan terbuka antara dua pemimpin itu yang disifatkannya 'tidak sihat dan tidak sesuai' untuk menangani perbezaan dalaman berhubung dasar awam.Sepanjang minggu lalu, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Kon Yeow bertikam lidah mengenai isu berkenaan.Kon Yeow berkata, beberapa pemilik tanah yang mengkritik kadar baharu tersebut dalam sidang akhbar bersama Guan Eng tidak memberi butiran penting seperti saiz lot dan kegunaan sebenar tanah mereka untuk perniagaan atau perindustrian.Katanya, beberapa kes yang dibangkitkan membabitkan tanah digunakan untuk menyimpan kayu balak, meletak kontena atau lori, dijadikan tapak menjual kereta terpakai atau menjalankan aktiviti berkaitan kilang.Guan Eng kemudian menggesa Kon Yeow meneliti sendiri aduan itu, bukannya bergantung kepada maklum balas pegawai tanah dan galian semata-mata.Dalam pada itu, Periasamy berpandangan, kemerosotan populariti bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu bukan hanya melibatkan individu semata-mata tetapi turut memberi kesan kepada sokongan terhadap DAP di Pulau Pinang.Beliau berkata, tindakan Guan Eng membangkitkan isu-isu tertentu dilihat seolah-olah mengambil pendekatan seperti pembangkang bagi menarik perhatian rakyat."Namun rakyat kini semakin sedar dan mampu menilai corak politik sedemikian."Malah terdapat tanda-tanda sokongan terhadap DAP turut merosot, termasuk dalam kalangan pengundi Cina."Perbalahan yang berlaku lebih bersifat persaingan politik peribadi dan tidak menjejaskan kestabilan politik negara mahupun kedudukan parti secara keseluruhan," ujar beliau.