Robozeta temui penonton di Astro Ceria bermula 23 Mac

DUNIA animasi tempatan bakal kembali bergegar dengan kemunculan semula Robozeta, siri animasi aksi adiwira robot yang akan mula ditayangkan di Astro Ceria bermula 23 Mac 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 6 petang.Tayangan ini pastinya menjadi berita menggembirakan buat peminat sedia ada, di samping membuka ruang kepada lebih ramai penonton baharu untuk mengenali salah satu karya animasi tempatan yang mempunyai identiti tersendiri.Siri Animasi Robozeta muncul sebagai pelopor animasi tempatan yang pertama membawakan aksi pertarungan robot gergasi dalam gaya pertarungan berbeza, dan menghiburkan.Keistimewaannya bukan sekadar pada visual dan aksi, tetapi juga pada keupayaannya merentasi kelompok penonton menerusi pendekatan kidult — menarik perhatian bukan sahaja kanak-kanak, malah remaja dan dewasa muda yang membesar dengan minat terhadap adiwira, robot dan pertarungan berskala besar.Dengan barisan watak yang comel, berkarisma dan mudah didekati, Robozeta tampil dekat di hati penonton, sementara babak pertarungan robot gergasi yang sarat intensiti memberikan pengalaman tontonan yang lebih epik dan mendebarkan.Kini, Robozeta hadir dengan keseluruhan 4 musim merangkumi 52 episod, sekali gus membuktikan bahawa siri ini bukan sekadar hadir sebagai tontonan ringan, tetapi telah berkembang sebagai sebuah francais animasi tempatan yang konsisten dan mempunyai potensi besar.Dengan jumlah episod yang banyak, penonton akan dapat mengikuti perjalanan dunia Robozeta dengan lebih mendalam daripada pengenalan watak, konflik, cabaran, sehinggalah kepada pertarungan demi mempertahankan keamanan.Apa yang menjadikan Robozeta lebih istimewa ialah kedudukannya sebagai sebuah karya tempatan yang mempunyai rasa dan pendekatan yang agak berbeza dalam landskap animasi Malaysia.Dalam dunia animasi tempatan, tidak banyak siri yang berani menggabungkan reka bentuk karakter yang comel dengan adiwira berpasukan dan pertarungan robot gergasi dalam satu pakej yang mesra keluarga tetapi masih mampu menarik perhatian penonton remaja serta dewasa muda.Itulah kekuatan utama Robozeta, ia memiliki identiti yang jelas dan tidak mudah disamakan dengan siri animasi lain.Menurut Abu Zaharen Abu Talib selaku pengarah Siri Animasi Robozeta, yang telah terlibat membangunkan Animasi Robozeta sejak dari tahun 2016."Kami memang mengharapkan agar seluruh peminat animasi di Malaysia menyokong dan mendukung animasi kami ini. Seluruh tenaga dan usaha kami curahkan di dalam projek ini," katanya.Tayangan di Astro Ceria ini juga dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperluaskan lagi capaian Robozeta kepada khalayak yang lebih besar.Dengan slot tayangan tetap pada waktu petang, siri ini berpotensi menjadi pilihan tontonan seisi keluarga, khususnya selepas waktu sekolah dan waktu santai di rumah.Malah, bagi penonton yang terlepas tayangan di Astro Ceria, Robozeta turut boleh disaksikan menerusi Sooka, Astro Go dan Astro OnDemand.Jadi jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Robozeta setiap Isnin hingga Khamis, jam 6 petang mulai 23 Mac ini.Siri Animasi Robozeta ialah sebuah kisah pengembaraan penuh aksi, emosi dan pertempuran robot gergasi kini bersedia untuk menggegarkan skrin anda.