Ahli ekonomi jangka kesan krisis Iran terus tekan ekonomi dunia
Sinar Harian

Ahli ekonomi jangka kesan krisis Iran terus tekan ekonomi dunia

KUALA LUMPUR – Tekanan terhadap ekonomi global dijangka terus berpanjangan walaupun konflik melibatkan Iran menunjukkan tanda-tanda mereda, kata Profesor Adjung Universiti Teknologi Petronas, Samirul Ariff Othman.Menurut beliau, kesan daripada ketegangan geopolitik tidak akan hilang serta-merta kerana wujud jurang masa antara gangguan yang berlaku dan proses pemulihan pasaran."Isunya bukan sekadar sama ada konflik itu reda atau tidak, tetapi kesannya mengambil masa untuk pulih. Gangguan yang berlaku sekarang akan terus dirasai dalam tempoh tertentu," katanya.Beliau menjelaskan, sebarang gangguan terhadap rantaian bekalan global, khususnya melibatkan sektor tenaga seperti minyak, boleh memberi impak berpanjangan walaupun keadaan kembali stabil.Tambahnya, pasaran memerlukan masa untuk menyesuaikan semula harga, bekalan dan permintaan selepas berlakunya kejutan geopolitik."Walaupun konflik reda, kesannya tidak serta-merta hilang kerana pasaran global masih dalam fasa penyesuaian," ujarnya.Dalam masa sama, ketidaktentuan geopolitik turut memberi tekanan kepada harga komoditi, sekali gus memberi kesan kepada kos sara hidup serta inflasi di pelbagai negara termasuk Malaysia.Menurut Samirul Ariff, pasaran global juga dijangka kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat, sekali gus menyumbang kepada tekanan berterusan terhadap ekonomi."Situasi ini menyebabkan tekanan ekonomi berlarutan dalam jangka pendek hingga sederhana walaupun ketegangan semakin reda," katanya.Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan dan pemain industri perlu bersedia menghadapi kemungkinan turun naik harga serta gangguan bekalan yang masih belum stabil sepenuhnya.Terdahulu, konflik di Asia Barat mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan tenaga global dan memberi kesan kepada ekonomi dunia secara keseluruhan.Jelasnya, walaupun keadaan geopolitik menunjukkan tanda pemulihan, kesan ekonomi yang ditinggalkan dijangka mengambil masa sebelum kembali stabil sepenuhnya.

Go to News Site