Sinar Harian
GEORGE TOWN- Seorang wanita warga emas mengalami kerugian RM457,607 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta polis.Mangsa berusia 69 tahun yang juga pengarah syarikat di negeri ini tampil membuat laporan pada Khamis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan.Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kejadian bermula pada 1 Mac lalu ketika mangsa berada di kediamannya di Simpang Ampat yang mana, dia menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai MCMC."Suspek memaklumkan bahawa akaun bank mangsa terlibat dalam kes polis. Mangsa menafikan perkara itu sebelum diminta membuat laporan polis secara dalam talian."Panggilan kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu yang menyamar sebagai pegawai polis dari Ibupejabat Polis Bukit Aman," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Azizee berkata, suspek seterusnya menyoal siasat mangsa dan meminta butiran peribadi kononnya bagi tujuan siasatan."Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan pengedaran dadah selain memaklumkan satu waran tangkap telah dikeluarkan atas nama mangsa."Mangsa kemudian diarahkan memberi kerjasama termasuk menyerahkan semua butiran perbankan serta mengeluarkan wang simpanan untuk diserahkan kepada individu tertentu bagi tujuan siasatan," ujarnya lagi.Beliau menambah, pada 11 Mac lalu, mangsa menyerahkan wang tunai pertama berjumlah RM168,477 kepada seorang lelaki tidak dikenali di sekitar Taman Tambun Indah."Dua hari kemudian mangsa sekali lagi menyerahkan wang tunai berjumlah RM289,130 kepada individu berbeza di lokasi sama."Selepas serahan kedua, suspek masih meminta wang tambahan sebelum mangsa mula berasa curiga dan menyedari dirinya ditipu," katanya.Azizee berkata, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.Dalam kes berasingan, seorang pengarah syarikat berusia 47 tahun turut mengalami kerugian lebih RM433,000 selepas menjadi mangsa penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai rakan perniagaan luar negara, baru-baru ini.Azizee berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Khamis.Menurutnya, mangsa diperdaya selepas menerima mesej daripada nombor antarabangsa yang menyamar sebagai individu dikenali dalam urusan perniagaan sebelum ini."Suspek memperkenalkan diri sebagai pemegang saham terbesar sebuah syarikat di Norway dan menawarkan peluang pelaburan berkaitan pembelian syarikat di Hong Kong."Mangsa yang berminat kemudiannya dihubungi melalui WhatsApp dan emel oleh individu lain yang menyamar sebagai wakil peguam dari sebuah firma di London bagi menguruskan perjanjian pembelian tersebut," katanya.Beliau berkata, mangsa kemudiannya membuat pembayaran berjumlah RM433,230.91 ke akaun sebuah syarikat di Hong Kong pada hari yang sama."Mangsa mula berasa curiga selepas membuat semakan lanjut terhadap syarikat terbabit sebelum menghubungi individu sebenar yang dikenalinya dan dimaklumkan bahawa urusan tersebut tidak wujud."Mangsa telah cuba menghentikan transaksi berkenaan namun mendapati dirinya telah diperdaya sebelum tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sebarang panggilan atau mesej mencurigakan khususnya yang melibatkan tawaran pelaburan atau permintaan maklumat perbankan."Jangan mudah percaya individu yang menyamar sebagai pihak berkuasa, wakil syarikat atau institusi kewangan. Lakukan semakan terlebih dahulu dengan pihak berkaitan sebelum membuat sebarang transaksi," ujarnya.Katanya, orang ramai boleh menyemak akaun bank dan nombor telefon mencurigakan melalui portal Semak Mule atau hadir ke balai polis berhampiran."Jika menjadi mangsa, segera hubungi pihak bank atau talian National Scam Response Centre (NSRC) di 997 bagi tindakan awal selain membuat laporan polis," katanya.Menurutnya, kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan penipuan.
Go to News Site