Sinar Harian
SHAH ALAM - Kerajaan digesa mempertimbangkan cadangan blok pembangkang untuk menubuhkan Majlis Perundingan dan Intervensi Ekonomi Negara, membentangkan Pelan Kontijensi Nasional serta mengadakan sidang khas Parlimen bagi menangani krisis yang semakin meruncing.Pengerusi Portfolio Pertanian dan Keterjaminan Makanan Pembangkang, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia bagi membolehkan kerajaan dan pembangkang dapat bersama-sama mencari jalan terbaik demi rakyat dan negara.Menurutnya, kenaikan mendadak harga diesel sehingga RM5.52 seliter, diikuti pengurangan kuota subsidi RON95 kepada 200 liter sebulan dalam tempoh hanya 24 jam, menunjukkan kepimpinan negara kini hilang arah dalam menguruskan krisis tenaga."Walaupun, konflik di rantau Teluk telah berlarutan hampir sebulan, kerajaan masih gagal mengemukakan Pelan Kontijensi Nasional yang menyeluruh."Sebaliknya, tindakan kerajaan dilihat reaktif termasuk membenarkan kenaikan harga minyak secara mendadak sehingga ke paras tertinggi dalam sejarah negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Menurut Ahli Parlimen Beluran itu, akibatnya, rakyat menjadi mangsa seperti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) makanan kini bergelut untuk bertahan."Pengusaha bas ekspres berdepan risiko gulung tikar, manakala pemilik restoran melaporkan kos operasi meningkat hingga 30 peratus. Pesawah menjadi kumpulan rakyat paling terkesan. Kos membajak dan menuai melambung berkali ganda disebabkan kenaikan diesel," ujarnya lagi.Lebih membebankan, kata Ronald, pesawah terpaksa menggunakan diesel tambahan untuk mengepam air akibat kemarau dan bertambah malang, apabila mereka tidak lagi menerima Insentif Tunai RM600 sejak dua musim lalu.Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beberapa kawasan yang sepatutnya memulakan musim penanaman padi baharu sejak awal Mac masih belum dapat beroperasi.Ronald berkata, perkembangan terbabit dibimbangi menjejaskan keselamatan bekalan makanan negara seperti dibangkitkan Ketua Pembangkang.Dalam pada itu, beliau menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa 90 peratus rakyat tidak terjejas sebagai tidak selari dengan realiti semasa."Hakikatnya, amaran pengeluar makanan bahawa mereka "tidak dapat bertahan lama" dan ketidaktentuan nasib pesawah menunjukkan krisis tenaga kini sedang berkembang."Ia boleh bertukar menjadi krisis bekalan makanan pula, terutamanya apabila kesan kenaikan diesel menjalar ke seluruh rantaian bekalan dan akhirnya ditanggung rakyat melalui harga tinggi," ujarnya.
Go to News Site