Sinar Harian
SHAH ALAM - Misi memperhebat perniagaan Malaysia menjadi fokus utama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim dalam tempoh 100 hari menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, fokus tersebut menekankan usaha memperhebatkan perniagaan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum ataupun agama mereka.Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada warga KUSKOP atas usaha menjayakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada usahawan di seluruh negara."100 hari di KUSKOP bersama usahawan Malaysia. Terima Kasih warga KUSKOP, anda berjaya. Fokus saya satu sahaja: Hebatkan Perniagaan Malaysia."Kita nak Power Up (hebatkan) bisnes rakyat Malaysia tak kira kaum dan agama. Power Up, Jalan Teruih (terus)," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.Dalam hantaran sama, Steven turut berkongsi infografik pelbagai inisiatif telah digerakkan termasuk dana pembiayaan Bumiputera di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dinaikkan daripada RM300 juta kepada RM500 juta.Antaranya, skim pembiayaan baharu berjumlah RM100 juta turut diperkenalkan melalui SME Bank dan Bank Rakyat bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kaum Cina.Kementerian turut menaikkan dana pembiayaan untuk usahawan India melalui Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) daripada RM30 juta kepada RM50 juta sebagai usaha memastikan keterangkuman ekonomi."Skim Biaya Ramadan Dan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) bernilai RM50 juta untuk PKMS bumiputera sempena Ramadan, manakala skim pembiayaan (Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina) BERKAT berjumlah RM30 juta di bawah SME Corp khusus untuk PKMS Cina sempena Tahun Baru Cina."Bagi memperkasa usahawan wanita, dana berjumlah RM3 bilion diperuntukkan melalui Dana Ekonomi Usahawan Wanita (DEWI) yang memberi manfaat kepada 300,000 peserta di seluruh negara," menurut infografik itu.Dalam perkongsian itu, turut disertakan perjanjian perniagaan bernilai RM2 bilion dimeterai menerusi Makkah Halal Forum 2026 dan jualan RM90 juta direkodkan di Japan Foodex.Selain itu, sebanyak RM254 juta turut diperuntukkan bagi memperkasakan gerakan koperasi nasional, sekali gus mencatatkan antara nilai tertinggi dalam sejarah.Pada masa sama, inisiatif pembangunan bakat seperti SKM Business School diperkenalkan bagi membudayakan keusahawanan dalam kalangan pelajar melalui konsep "Sekolah Perniagaan".Beberapa usaha lain termasuklah pengurangan birokrasi serta penurunan kadar fi dan faedah bagi memudahkan urusan usahawan serta kerjasama strategik termasuk dengan platform digital seperti TikTok Shop serta peluasan Tik Tok Shop Live Hub ke Pahang dan Pulau Pinang.
Go to News Site