Sinar Harian
BEKAS pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan Mohamed Salah sebagai salah seorang pemain teragung sepanjang zaman dan percaya rekod luar biasa yang dicatatkan bintang Mesir itu sukar untuk diatasi oleh generasi akan datang di Anfield.Pujian itu hadir selepas Salah mengumumkan bahawa dia akan menamatkan karier gemilangnya selama sembilan tahun bersama Liverpool pada penghujung musim ini.Salah yang menyertai The Reds dari Roma pada 2017 telah meledak 255 gol dalam 435 penampilan setakat ini.Rekod itu meletakkannya di kedudukan ketiga dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab di belakang lagenda Ian Rush dan Roger Hunt."Apabila anda bekerja dengannya, dia sama seperti pemain lain di mana ada teguran tentang bertahan atau kehilangan bola. Namun, jika dilihat dari sudut yang lebih besar, apa yang dicapainya adalah sesuatu yang luar biasa."Angka (statistik) yang dicatatnya tidak tertandingi. Adakah kita akan bercakap dalam tempoh 10 tahun lagi tentang ada pemain lain yang mampu menyamai rekodnya? Saya rasa ia sangat sukar."Bagi saya, dia adalah salah seorang pemain teragung sepanjang zaman," kata Klopp.Di bawah kendalian Klopp, Salah telah memenangi hampir semua kejuaraan utama termasuk Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris, tiga piala domestik, Piala Super UEFA, dan Piala Dunia Kelab.Kejayaan itu sebahagian besarnya disumbangkan melalui gandingan mantap trio serangan bersama Roberto Firmino dan Sadio Mane yang secara keseluruhan meledak 338 gol dalam tempoh lima musim.Salah muncul sebagai peledak utama trio tersebut dengan 156 gol kelebihan 49 gol di depan Mane dan 81 gol mengatasi Firmino."Dia adalah sebahagian daripada jentera serangan terbaik dalam bola sepak dunia untuk tempoh yang lama. Mo (Salah) adalah pemain yang sentiasa mahukan saat akhir (menjaringkan gol). Dia mahukannya lebih daripada sesiapa pun," ujarnya.
Go to News Site