Sinar Harian
SHAH ALAM - Malaysia mencatat sejarah baharu apabila merekodkan lebih 42.19 juta pelawat antarabangsa sepanjang 2025, sekali gus menjadi angka tahunan tertinggi pernah dicapai negara.Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, jumlah 42,196,892 pelawat itu meningkat 11.2 peratus berbanding 2024 dan 20.4 peratus lebih tinggi berbanding era pra-pandemik pada 2019."Rekod baharu ini merupakan tanda keyakinan kukuh terhadap Malaysia sebagai destinasi pilihan pelawat antarabangsa."Ia mencerminkan usaha bersama kerajaan, industri dan rakyat dalam menghidupkan semula sektor pelancongan negara selepas pandemik," katanya dalam kenyataan Laporan Kemajuan Kerja 2025.Beliau berkata, Singapura kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 21,076,783 pelawat, sekali gus melepasi angka 20 juta buat pertama kali.China pula mencatat pertumbuhan paling kukuh dengan 4,661,878 pelawat, meningkat 25.1 peratus berbanding 2024 dan 40 peratus berbanding 2019, sekali gus mengatasi Indonesia sebagai pasaran kedua terbesar.Indonesia turut merekodkan pencapaian memberangsangkan dengan 4,266,358 pelawat, meningkat 2.9 peratus berbanding tahun sebelumnya dan hampir 10 peratus lebih tinggi berbanding 2019.Mengulas lanjut, King Sing berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 turut mencatat ketibaan kukuh dari negara anggota dengan jumlah 30,722,672 pelawat, meningkat hampir sembilan peratus tahun ke tahun.Jelasnya, India terus menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah pelawat meningkat kepada 1,565,194 orang, naik 14.6 peratus, sekali gus membantu Asia Selatan melepasi dua juta pelawat buat pertama kali dengan 2,128,465 pelawat."Ketibaan dari Asia Tengah juga meningkat kepada 75,312 pelawat pada 2025, hampir dua kali ganda berbanding kira-kira 37,000 pada 2019," ujarnya.Dalam pada itu, sebanyak 21 negara dan wilayah kini menyumbang lebih 100,000 pelawat setahun ke Malaysia, jumlah tertinggi pernah direkodkan.Dari Amerika Utara, pelawat dari Amerika Syarikat melebihi 330,000 orang, manakala Kanada mencatat 112,432 pelawat, sekali gus melepasi angka enam digit buat pertama kali.Bagi pasaran Eropah, hampir 1.5 juta pelawat direkodkan dengan United Kingdom menyumbang 429,974 pelawat, diikuti Perancis (228,173) dan Jerman yang turut mencatat rekod baharu sebanyak 188,928 pelawat.89 laluan baharuDalam perkembangan berkaitan, kesalinghubungan udara yang semakin kukuh dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada lonjakan ketibaan pelawat antarabangsa.King Sing berkata, sebanyak 169,877 penerbangan antarabangsa dengan lebih 34.2 juta tempat duduk direkodkan beroperasi ke Malaysia sepanjang tahun lalu."Kesalinghubungan udara yang kukuh dan boleh dipercayai merupakan tulang belakang pelancongan masuk. Pertumbuhan penerbangan antarabangsa memainkan peranan penting dalam menyokong lonjakan pelawat," jelasnya.Menurutnya, sepanjang 2025, Malaysia menambah 59 laluan berjadual baharu dan 30 laluan sewaan (charter), menjadikan keseluruhan 89 laluan baharu yang menghubungkan 23 negara dan wilayah ke 11 lapangan terbang di seluruh negara.China muncul sebagai penyumbang terbesar dengan 18 laluan berjadual baharu dan 20 laluan sewaan, diikuti Indonesia dengan 10 laluan berjadual baharu serta Singapura yang menambah lima laluan berjadual dan dua perkhidmatan sewaan.Laluan baharu itu melibatkan 11 lapangan terbang termasuk KLIA dan Subang di Lembah Klang; Kota Kinabalu dan Tawau di Sabah; Kuching dan Miri di Sarawak; serta Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru, Langkawi dan Kota Bharu.Pada masa sama, sebanyak 92 syarikat penerbangan mengendalikan 498 laluan antarabangsa terus ke Malaysia, terdiri daripada 86 syarikat penerbangan asing dan enam syarikat tempatan."Keseluruhannya, mereka menyediakan 169,877 penerbangan antarabangsa dan 34,203,168 tempat duduk sepanjang tahun. Tahap kapasiti ini bukan sahaja tanda keyakinan syarikat penerbangan, malah penting untuk mengekalkan pertumbuhan Malaysia sebagai destinasi pelawat antarabangsa," ujarnya.Daripada jumlah itu, sebanyak 104 laluan antarabangsa menawarkan lebih 100,000 tempat duduk setahun dengan 93 laluan ke KLIA, sembilan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang serta masing-masing satu ke Kuching dan Ipoh.Menurut King Sing, laluan berkapasiti tinggi itu menghubungkan sebahagian besar bandar di Asia Tenggara ke Malaysia, termasuk 38 laluan ke KLIA, lapan ke Pulau Pinang dan satu ke Ipoh.Beliau berkata, secara keseluruhan terdapat 47 laluan utama beroperasi termasuk empat laluan yang masing-masing menawarkan lebih 500,000 tempat duduk ke Malaysia sepanjang 2025.
Go to News Site