BUDI95 selamatkan negara, rakyat
Sinar Harian

BUDI95 selamatkan negara, rakyat

LANGKAH berani kerajaan melaksanakan subsidi bersasar melalui BUDI95 sebelum ini terbukti bukan sekadar pembaharuan fiskal biasa, tetapi menjadi satu bentuk 'perlindungan awal' yang menyelamatkan Malaysia ketika ketidaktentuan geopolitik dunia dan lonjakan harga minyak dunia susulan perang Iran-Israel semakin memuncak ketika ini.Dalam konteks semasa, sekiranya Malaysia masih mengamalkan subsidi pukal, kesan lebih berganda tentunya terpaksa dihadapi rakyat, bukan sekadar pengurangan 100 liter kuota subsidi petrol RON95 sebulan sebagaimana langkah baharu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.Ini diakui Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim yang tidak menolak kesan kritikal terhadap isi rumah jauh lebih besar tanpa pelaksanaan BUDI95."Jika tak ada BUDI95, masyarakat akan mengalami perubahan besar dalam kuasa membeli akibat pengurangan pendapatan yang terpaksa dihabiskan kepada harga petrol yang meningkat."Dalam erti kata lain, kos untuk petrol bagi sesebuah isi rumah meningkat yang akhirnya perbelanjaan terhadap barangan lain terpaksa dikurangkan sekali gus menjejaskan kesejahteraan kualiti hidup mereka secara keseluruhan," katanya kepada Sinar Bisnes pada Jumaat.Hakikatnya tanpa BUDI95, kerajaan juga berdepan tekanan fiskal yang jauh lebih besar kerana perlu menanggung subsidi kepada semua termasuk golongan berpendapatan tinggi, syarikat besar dan juga warga asing.Akibatnya, ia boleh menyumbang kepada kesan berantai termasuk risiko permintaan bahan api yang kekal tinggi secara tidak terkawal, seterusnya membuka ruang kepada pembaziran, ketirisan dan aktiviti penyeludupan, sekali gus mempercepatkan kehabisan sumber subsidi negara ketika krisis sedang memuncak.Realitinya, ia tidak berlaku ketika ini kerana pelaksanaan BUDI95 lebih awal memberi jaminan bahawa sumber negara digunakan secara lebih cekap dan memberi ruang fiskal kepada kerajaan untuk bertindak balas secara lebih terkawal ketika krisis.Meskipun pada awalnya, dasar subsidi bersasar bahan api mengundang pelbagai kritikan, langkah berani dan 'tidak popular' yang diambil kerajaan menerusi beberapa siri pembaharuan fiskal, termasuk subsidi bersasar mendapat perhatian dan dipuji komuniti pelabur antarabangsa.Ia sebagaimana yang didedahkan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour Februari lalu, hasil maklum balas itu diperoleh menerusi sesi libat urus bersama komuniti pelabur global di luar negara, pengurus dana asing dan firma penarafan antarabangsa.Beliau dilapor berkata, komuniti tersebut melahirkan kekaguman dan memuji kemajuan pembaharuan yang dilaksanakan Malaysia, yang berjaya melaksanakan peralihan subsidi pukal kepada subsidi bersasar.Jelas beliau, hal berkenaan menambah keyakinan kepada komuniti pelabur global terhadap Malaysia memandangkan dasar yang direncanakan telah dilaksanakan meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar.Justeru, tindakan kerajaan yang menetapkan dasar subsidi bersasar jelas mengurangkan risiko kejutan ekonomi besar, menjadikan Malaysia lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan global.Dalam pada itu, Mohd Faisol menambah, situasi di Asia Barat bukan bersifat sementara dan dijangka mengambil masa yang lama.Sehubungan itu jelas beliau, kerajaan perlu memberi kesedaran kepada rakyat tentang persediaan kemungkinan-kemungkinan kesan buruk yang akan terjadi terhadap ekonomi Malaysia akibat kemelut konflik berkenaan."Ini kerana, krisis ini bukan krisis ekonomi dalaman Malaysia sebaliknya ia adalah krisis Asia Barat yang mewujudkan krisis tenaga global yang mempengaruhi ekonomi dunia."Krisis Asia Barat bukan sahaja perlu dinilai dari sudut peperangan ketenteraan dan teknologi persenjataan tetapi sebenarnya sebagai petunjuk baharu kepada Malaysia bahawa krisis yang berlaku sekarang adalah peperangan ekonomi antara US (Amerika Syarikat) dan Iran yang telah memberi kesan teruk kepada seluruh ekonomi dunia termasuk Malaysia," katanya.Tambah beliau lagi, sebagai negara membangun dan bukan negara maju, Malaysia berjaya dalam menghadapi pelbagai krisis ekonomi dunia sebelum ini tetapi krisis Asia Barat tahun ini dianggap agak berbeza dan dikhuatiri memberi kesan yang sangat buruk jika berpanjangan."Ia bukan sahaja memberi kesan kepada kemungkinan kenaikan harga barangan tetapi juga kesan kepada peningkatan kos sara hidup yang diperjuangkan oleh kerajaan sebelum ini di samping kesan negatif kepada pasaran kerja di Malaysia," katanya.

Go to News Site