Sinar Harian
MALAYSIA menghasilkan kira-kira 18,000 bilion liter air terawat sehari, namun hampir satu pertiga hilang sebelum sampai ke pengguna.Kehilangan sekitar 6 bilion liter sehari itu bukan sahaja menjejaskan kecekapan sistem, malah menyebabkan kerugian dianggarkan mencecah RM2 bilion setahun.Dalam masa sama, operator air negeri berdepan dilema mengekalkan tarif rendah ketika kos operasi terus meningkat serta keperluan menggantikan paip lama berusia puluhan tahun.Infrastruktur uzur dan kekangan kewangan menjadikan usaha menurunkan NRW bukan sekadar isu teknikal, tetapi melibatkan tadbir urus, pelaburan dan kelestarian sistem bekalan air negara.Dalam konteks ini, peranan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai pengawal selia semakin kritikal ketika negara melaksanakan Transformasi Sektor Air 2040 (WST 2040).Bagi mengupas cabaran sebenar sektor air negara, Penulis Khas Sinar Harian, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN dan Jurufoto, HALIM WAHID menemu bual Pengerusi SPAN, DATUK IR ABDUL KADIR MOHD DIN dalam satu wawancara khas bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai hala tuju industri air negara menjelang 2040.SINAR HARIAN: Datuk dilantik sebagai Pengerusi SPAN ketika negara melaksanakan Transformasi Sektor Air 2040 (WST 2040). Apakah pembaharuan paling mendesak dalam tempoh satu hingga dua tahun pertama?DATUK IR ABDUL KADIR MOHD DIN: Air sangat penting kerana kehidupan bermula daripadanya. Bagi saya, keutamaan utama ialah tadbir urus, khususnya peraturan berasaskan data. Jika mahu bergerak pantas, keputusan mesti dibuat berpandukan data.Kita perlu mengukuhkan kecekapan asas sektor air dan meningkatkan prestasi operator. Kita tidak mahu keadaan sama berlarutan tanpa peningkatan ketara. Sebab itu, kita memperkukuh pusat pemantauan operasi (Work Command Centre) bagi mendapatkan data masa nyata melibatkan NRW (air yang sudah diproduksi namun tidak sampai ke konsumer), gangguan bekalan dan kualiti air.Perkara kedua ialah pengurangan NRW. Jika 100 unit air dihasilkan tetapi hanya 42 unit sampai ke pengguna, sebahagian besar hilang dalam sistem. Kita perlu pendekatan lebih agresif serta penggunaan teknologi baharu kerana kaedah konvensional mengambil masa. NRW melibatkan kebocoran besar, sederhana dan kecil, yang memerlukan strategi berbeza.Ketiga ialah struktur pembiayaan. Setiap pelaburan mesti memberi impak yang boleh diukur, bukan sekadar projek fizikal.Kesimpulannya, tiga fokus utama ialah tadbir urus, pengurangan NRW dan pembiayaan. Isu NRW bukan sekadar teknikal, tetapi melibatkan ekonomi dan keselamatan negara.SINAR HARIAN: Bercakap mengenai NRW, kadar di Malaysia kekal lebih 30 peratus dan ada negeri melebihi 60 peratus. Adakah ini isu teknikal semata-mata atau masalah tadbir urus?DATUK IR ABDUL KADIR MOHD DIN: Perlu difahami NRW bukan sebagai projek, tetapi sebahagian operasi sistem bekalan air. Jika kita lihat negara maju seperti Singapura, mereka melabur besar menggantikan paip lama, sebab itu kadar NRW sekitar empat hingga bawah 10 peratus. Walaupun kecil, jumlah penduduknya hampir setara Selangor. Jadi persoalannya, mengapa Selangor melebihi 20 peratus? Ini berkait tadbir urus dan pelaburan.Banyak paip kita berusia 30 hingga 50 tahun dengan bahan lama yang tidak lagi sesuai. Kini teknologi paip lebih baik mengikut keadaan tanah. Purata NRW negara sekitar 35 peratus, dengan Perlis mencecah 62 peratus. Negeri kritikal ialah Perlis, Kelantan dan Kedah.Malaysia mempunyai lebih 140,000 kilometer paip dan sekitar 30 peratus daripadanya paip lama era British. Proses penggantian mengambil masa, ditambah masalah pengesanan kerana dahulu tiada sistem GIS. Isu ini bukan semata-mata salah operator, tetapi juga kekangan kewangan. Kerajaan menyediakan kira-kira RM2 bilion setahun, namun kos menurunkan NRW satu peratus boleh mencecah RM800 juta hingga RM1 bilion.Secara keseluruhan, kos boleh mencecah RM35 bilion. Maka pendekatan lain ialah melibatkan sektor swasta melalui model berasaskan prestasi. NRW perlu dipantau berterusan kerana ia boleh meningkat semula. Contohnya di Pulau Pinang, pernah turun ke sekitar 18 peratus tetapi naik kembali. Sasaran kita bukan sifar, tetapi memastikan kehilangan berada pada tahap yang boleh diterima.SINAR HARIAN: Dalam WST 2040, apakah sasaran pengurangan NRW dan berapa nilai kerugian akibat kehilangan air?DATUK IR ABDUL KADIR MOHD DIN: Sasaran NRW menjelang 2040 ialah sekitar 28 peratus. WST 2040 menyediakan hala tuju menyeluruh, bukan sekadar air terawat tetapi keseluruhan ekosistem termasuk sumber air, hutan, industri dan ekonomi, dengan matlamat menjadikan sektor ini daripada pusat kos kepada pusat nilai.SPAN mengawal air terawat manakala sumber air mentah di bawah negeri, namun kerjasama rapat penting bagi memastikan bekalan dilindungi. Secara asasnya, isu air melibatkan banjir, kemarau dan pencemaran, yang boleh menjejaskan operasi loji rawatan.Dari segi kerugian, pengeluaran air negara sekitar 18 bilion liter sehari dan kira-kira 6 bilion liter hilang akibat NRW. Nilainya dianggarkan mencecah RM2 bilion setahun, hampir menyamai peruntukan tahunan sektor air. Kerugian ini membimbangkan kerana air yang sepatutnya menjadi rizab terus hilang, sebab itu usaha pengurangan perlu dilakukan secara strategik dan berterusan.SINAR HARIAN: Bagaimana Datuk melihat kedudukan sektor air negara pada masa ini? Adakah ia sudah berada pada tahap kritikal?DATUK IR ABDUL KADIR MOHD DIN: Saya tidak mahu mengatakan ia sebagai krisis sepenuhnya, tetapi isu air perlu dilihat pada tahap yang sangat penting. Ia sepatutnya diletakkan pada kedudukan yang setara dengan sekuriti makanan.Apa yang berlaku sekarang sebenarnya agak membimbangkan kepada kerajaan dan juga rakyat. Sebab itu dalam pelan Industri Air 2040 Malaysia, kita memperkenalkan konsep Water-Food-Energy Nexus. Konsep ini menegaskan bahawa air, makanan dan tenaga tidak boleh dipisahkan kerana ketiga-tiganya berada pada tahap kepentingan yang sama.Jika kita melihat situasi di Asia Barat yang sedang berperang, antara strategi yang digunakan ialah menyerang loji penyahgaraman air laut. Apabila bekalan air diserang, rakyat akan mengalami kesengsaraan secara perlahan.Jika sistem kumbahan pula disasarkan, penyakit akan merebak dengan cepat. Ini menunjukkan sektor air sebenarnya merupakan sektor keselamatan yang sangat kritikal dan perlu dilindungi.SINAR HARIAN: Apakah langkah yang perlu diambil bagi memastikan sistem bekalan air negara lebih kukuh?DATUK IR ABDUL KADIR MOHD DIN: Kita perlu memastikan adanya sistem sokongan atau backup. Sekarang ini kita selesa kerana apabila kita membuka paip, air sentiasa ada. Namun, persoalannya ialah jika loji rawatan air tidak dapat beroperasi, siapa yang boleh menyokong bekalan tersebut? Sebagai contoh, seperti kereta hibrid. Apabila petrol habis, tenaga elektrik akan mengambil alih. Dalam sistem air kita, mekanisme seperti itu masih belum wujud sepenuhnya.Salah satu pendekatan yang boleh difikirkan ialah membangunkan water grid atau rangkaian bekalan air seperti sistem ring main di London. Kita boleh membangunkan sama ada grid air terawat atau grid air mentah, atau kedua-duanya sekali.Dengan cara itu, ketika musim kemarau kita masih mempunyai sumber air yang boleh diagihkan kepada semua pengguna.SINAR HARIAN: Malaysia sering dianggap sebagai negara yang mempunyai sumber air yang banyak. Namun mengapa masalah bekalan masih berlaku?DATUK IR ABDUL KADIR MOHD DIN: Malaysia sebenarnya antara negara yang menerima taburan hujan tertinggi di dunia. Namun apabila berlaku kemarau, kita masih berdepan krisis bekalan air. Malah ada pihak luar yang menyindir dengan ungkapan ‘a lot of water that falls but not a drop to drink.’Ini menunjukkan bahawa kita perlu berfikir secara lebih maju dalam menguruskan sumber air. Masalah ini bukan masalah baharu, malah telah lama wujud. Oleh itu, kita tidak boleh menyelesaikan masalah lama dengan pendekatan lama. Kita memerlukan idea baharu, inovasi baharu dan penggunaan teknologi yang lebih maju.SINAR HARIAN: Apakah sumber bekalan air yang boleh dimanfaatkan bagi memastikan kelestarian bekalan air negara?DATUK IR ABDUL KADIR MOHD DIN: Sebenarnya kita mempunyai banyak sumber air yang boleh dimanfaatkan. Kita mempunyai konsep yang dikenali sebagai ‘seven taps’ atau tujuh sumber air. Antaranya ialah air sungai, air takungan, air bawah tanah, air kitar semula, air tadahan hujan, air daripada atmosfera dan air laut melalui proses penyahgaraman.Ada juga cadangan untuk menambah satu lagi sumber iaitu coastal reservoir, seperti yang dilaksanakan di Singapura di kawasan Marina Bay. Konsep ini membina takungan air di kawasan pesisir dan memisahkan air tawar daripada air masin. Walaupun pelaburannya tinggi, kesannya kepada pembangunan ekonomi juga besar, termasuk peningkatan nilai hartanah dan sektor pelancongan.Sebab itu dalam WST2040, kita melihat potensi untuk menukar sektor air daripada cost centre kepada profit centre.SINAR HARIAN: Apakah cabaran utama dalam melaksanakan pelan pembangunan sektor air negara?DATUK IR ABDUL KADIR MOHD DIN: Cabaran terbesar ialah aspek kewangan. Peruntukan tahunan kerajaan untuk sektor pengurusan air sebenarnya agak terhad jika dibandingkan dengan negara lain. Dalam banyak dokumen pembangunan negara, sektor air masih belum diberikan keutamaan yang besar.SINAR HARIAN: Bagaimana prestasi operator air dinilai setakat ini? Adakah ia bergantung kepada NRW semata-mata?DATUK IR ABDUL KADIR MOHD DIN: Di SPAN, penilaian berpaksikan tiga prinsip iaitu holistik, telus dan mampan. Laporan prestasi operator diterbitkan setiap tahun dan boleh diakses oleh orang ramai, malah kami terbuka menerima pertanyaan serta aduan pengguna.NRW hanyalah salah satu indikator. Kami turut menilai aspek lain seperti kekerapan gangguan bekalan, kualiti air dan prestasi kewangan operator. Kualiti air amat penting kerana jika tidak memenuhi piawaian, ia boleh menjejaskan kesihatan pengguna.NRW pula memberi kesan kepada kerugian infrastruktur, namun selagi bekalan kepada pengguna tidak terjejas, ia masih boleh diuruskan dalam sistem.SINAR HARIAN: Dari segi kewangan, adakah operator air di Malaysia stabil dan adakah pelarasan tarif tidak dapat dielakkan?DATUK IR ABDUL KADIR MOHD DIN: Secara purata, kebanyakan operator berada dalam keadaan stabil, namun beberapa negeri berdepan cabaran terutama berkaitan struktur tarif. Kita menggunakan mekanisme penetapan tarif bagi memastikan ia adil dan mampan, tetapi ada negeri yang perlu membuat pelarasan secara berperingkat.Dalam dasar industri air negara, tarif sepatutnya disemak setiap tiga tahun, namun pelaksanaannya tidak selalu konsisten kerana perlu mengambil kira kemampuan rakyat dan keadaan ekonomi semasa.Hakikatnya, kos operasi meningkat sekitar tiga hingga lima peratus setiap tahun melibatkan tenaga, bahan kimia dan penyelenggaraan. Justeru, pelarasan tarif perlu dilakukan secara berhemah bagi memastikan kelangsungan sistem bekalan air negara.SINAR HARIAN: Apakah pendekatan SPAN bagi memastikan industri air kekal mampan?DATUK IR ABDUL KADIR MOHD DIN: Perlu difahami bahawa industri air bukan berorientasikan keuntungan semata-mata. Orientasi utama sektor ini ialah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Malah SPAN mengehadkan margin keuntungan operator supaya tidak melebihi tahap tertentu. Jika keuntungan terlalu tinggi, kita akan mengetatkan syarat prestasi atau KPI mereka.Air adalah hak rakyat. Ia bukan sektor untuk seseorang menjadi jutawan.SINAR HARIAN: Kerajaan bersedia membantu operator air dari segi dana bagi mengurangkan NRW. Apakah cabaran sebenar?DATUK IR ABDUL KADIR MOHD DIN: NRW bukan sekadar kehilangan fizikal, tetapi terbahagi kepada dua kategori. Pertama, ketirisan komersial seperti kesilapan bacaan bil atau klasifikasi pengguna. Contohnya, premis kediaman yang bertukar menjadi perniagaan tetapi masih dikenakan tarif domestik. Kategori kedua ialah ketirisan fizikal iaitu kebocoran paip. Ada yang jelas kelihatan, tetapi cabaran besar ialah kebocoran bawah tanah yang sukar dikesan dan memerlukan kerja penggalian.Kos pembaikan juga tinggi kerana syarat menurap semula keseluruhan jalan, bukan hanya kawasan digali. Sebab itu operator berdepan kekangan kewangan, dan kita berharap syarat tidak terlalu membebankan. Hakikatnya, operator berada dalam keadaan tersepit. Industri air ialah perkhidmatan kepada rakyat, bukan berorientasikan keuntungan semata-mata.SINAR HARIAN: Pusat data menggunakan air dalam jumlah besar. Bagaimana SPAN melihat isu ini dan adakah ia boleh disekat jika menjejaskan bekalan rakyat?DATUK IR ABDUL KADIR MOHD DIN: Perkembangan pusat data sangat pesat, namun penggunaan airnya tinggi, boleh mencecah bersamaan lapan kolam renang Olimpik bagi satu pusat.SPAN menetapkan tarif lebih tinggi berbanding industri biasa bagi melindungi operator air. Namun isu utama ialah sumber air, dan kita perlu pastikan penggunaan ini tidak menjejaskan bekalan domestik. Sebab itu pusat data digalakkan menggunakan sumber alternatif seperti air laut atau air kitar semula. Cabarannya, banyak pusat data dibina di kawasan bandar yang jauh dari laut.Dari segi kuasa, SPAN tidak boleh menyekat secara langsung kerana bekalan air di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Namun, SPAN boleh memberi nasihat teknikal, menjalankan audit dan mengemukakan laporan jika terdapat risiko kepada bekalan air. Keputusan akhir tetap di peringkat negeri, manakala SPAN berperanan mempengaruhi melalui penilaian dan cadangan.SINAR HARIAN: Bagaimana pelaksanaan teknologi seperti smart metering atau district metering zones bagi mengurangkan NRW di Malaysia?DATUK IR ABDUL KADIR MOHD DIN: Secara jujurnya, kemajuan kita masih agak perlahan. Sistem seperti district metering zone (DMZ) dan teknologi pemantauan lain penting untuk mengesan kebocoran dan mengurangkan NRW. Namun, kita masih banyak bergantung kepada kaedah konvensional seperti pengesanan bunyi kebocoran pada waktu malam. Kaedah ini berkesan tetapi perlahan.SINAR HARIAN: Secara keseluruhan, bagaimana Datuk melihat tahap kestabilan sektor air negara ketika ini?DATUK IR ABDUL KADIR MOHD DIN: Secara purata, sistem air negara masih stabil berbanding beberapa negara jiran. Walaupun begitu, kita tidak boleh berpuas hati. Perkhidmatan perlu terus ditambah baik supaya pengguna merasakan nilai setimpal dengan bayaran.
Go to News Site