Sinar Harian
SELEPAS lapan bulan dibebaskan dari tahanan di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, Thailand pada Ogos lalu, penyanyi wanita sohor Kelantan, Eda Ezrin mencetuskan fenomena baharu bersama rakan duetnya, Den Manja apabila lagu 'Adek Saye Abe Sore' mendapat lebih 40,000 tontonan dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas dimuat naik di YouTube pada Khamis.Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 31, mengakui terkejut kerana perkara itu jarang berlaku bagi lagu dialek Kelantan dan karya tersebut merupakan kesinambungan kepada 'Cinta Setandang Pisang'."Melihat sambutan terhadap lagu baharu ini, saya dan Den Manja berharap ia juga akan menjadi fenomena sebagaimana 'Cinta Setandang Pisang' atau 'Bae Sobar Bae'."Lagu ini telah ditangguhkan selama hampir dua tahun selepas saya berdepan sejarah hitam yang umum sudah sedia maklum," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Lagu 'Saye Abe Sore' dan Sambutan Aidilfitri Eddie Hamid Fans Club (EHFC) di sini pada Jumaat.Beliau berharap para peminat serta orang ramai akan memberikan sokongan terhadap lagu baharu duet bersama Den Manja atau Mohamad Hafizzudin Md Yusof, 30.Ujarnya, yang sedang berbadan dua dan bakal menimang cahaya mata ketiga pada hujung April ini, kerjaya sebagai penyanyi akan diteruskan di samping turut menjalankan perniagaan.Sementara itu, Den Manja berkata beliau sanggup menunggu rakan duetnya itu hampir setahun demi rakaman single terbaharu."Ia merupakan lagu sambungan kepada 'Cinta Setandang Pisang'. Saya sendiri jarang berduet dengan orang lain selain Eda Ezrin, jadi saya setia menunggu walaupun lama."Kami berharap lagu ciptaan Eddie Hamid dan lirik oleh Fadil Turbo ini bakal menjadi fenomena dan diterima ramai," katanya.Terdahulu, 'Cinta Setandang Pisang' mencetuskan fenomena apabila lagu dialek Kelantan itu merekodkan jumlah tontonan tertinggi di YouTube sebanyak 33 juta berbanding karya lain yang dihasilkan oleh penyanyi lagu daerah di negeri ini.Lagu berkenaan turut dinobatkan sebagai Lagu Etnik Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-24 pada tahun lalu.
Go to News Site