MM2H jana RM3.875 bilion
Sinar Harian

MM2H jana RM3.875 bilion

SHAH ALAM - Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) terus membuktikan impaknya sebagai pemangkin ekonomi negara apabila sebanyak 3,172 permohonan diluluskan sepanjang 2025, sekali gus menjana anggaran nilai ekonomi RM3.875 bilion.Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kementeriannya giat mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) bersama Tourism Malaysia serta program MM2H di pasaran utama dunia."Sepanjang tahun lepas, kami mempergiatkan jangkauan dalam pasaran utama dan mempromosikan VM2026 dan MM2H secara konsisten."Keterlihatan yang mampan ini diterjemahkan kepada peningkatan ketibaan pelawat serta menjana nilai ekonomi signifikan melalui MM2H," katanya.King Sing turut memainkan peranan aktif mempromosikan Malaysia di luar negara dengan melawat 19 bandar di 11 negara merangkumi ASEAN, Asia Barat, Eropah, China dan Australia.Usaha itu menunjukkan hasil positif apabila pelawat dari Australia meningkat 11 peratus kepada hampir 497,000 orang, manakala ketibaan pelancong dari Switzerland dan Poland masing-masing naik 15.3 peratus dan 32.6 peratus.Daripada jumlah permohonan MM2H yang diluluskan, 46 adalah kategori Platinum, 154 (Emas), 2,650 (Perak) dan 322 lagi di bawah Zon Ekonomi Khas/Kewangan Khas, melibatkan keseluruhan 9,038 peserta.Sumbangan ekonomi tersebut diperoleh melalui deposit tetap berjumlah RM2.35 bilion dalam bank tempatan, pembelian hartanah bernilai RM1.51 bilion serta kutipan yuran penyertaan RM13.85 juta.Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia terus mengorak langkah memperkukuh kedudukan budaya di peringkat antarabangsa apabila melengkapkan pencalonan beberapa elemen warisan untuk disenaraikan di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).King Sing berkata, antara yang dicalonkan wayang kulit Kelantan, tarian singa dan perarakan chingay untuk inskripsi dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan.Menurutnya, wayang kulit Kelantan dijangka dinilai pada 2026, manakala tarian singa dan chingay pada 2027."Tarian singa dicalonkan bersama China, manakala chingay bersama Singapura, menunjukkan kerjasama budaya serantau yang erat," ujarnya.Selain itu, Malaysia turut memulakan proses pencalonan bagi seni 24 Festive Drum untuk pengiktirafan UNESCO pada masa hadapan.Beliau berkata, sejak 2023, budaya Malaysia semakin mendapat perhatian global dengan pelbagai elemen warisan negara berjaya disenaraikan, termasuk kejayaan bersama China pada 2020 bagi ritual Wangchuan serta pengiktirafan kebaya pada 2024.PengiktirafanDalam masa sama, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Selangor turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2024, sekali gus menyerlahkan keunikan ekologi dan nilai pelancongan berasaskan alam semula jadi negara.Bagi memperkukuh promosi budaya, kementerian turut menganjurkan 40 acara kebudayaan Malaysia di luar negara sepanjang 2025 bersempena kempen VM2026.Acara itu merangkumi persembahan kebudayaan, seni serta pengalaman gastronomi bagi memberi pendedahan langsung kepada masyarakat antarabangsa mengenai keunikan Malaysia.Antara program dianjurkan termasuk Malaysia Food and Culture Festival serta Malaysia Tourism, Arts and Culture Festival yang menampilkan makanan tradisional, persembahan budaya dan pertunjukan fesyen batik.King Sing menambah, pendekatan itu bertujuan menarik lebih ramai pelancong untuk datang sendiri merasai pengalaman budaya Malaysia secara mendalam.Pada masa sama, Malaysia turut memainkan peranan penting di peringkat serantau apabila mempengerusikan Majlis Komuniti Sosio Budaya ASEAN (ASCC) sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.Sepanjang tempoh itu, Malaysia berjaya menggubal Rangka Kerja Kelestarian Ekonomi Kreatif ASEAN dan Deklarasi Melaka mengenai warisan budaya, selain menganjurkan beberapa program julung kali seperti ASEAN Socio-Cultural Community High Level Forum, Regional Strategic Planning Forum dan ASEAN Handicraft Market.Perkembangan itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh sektor pelancongan dan kebudayaan sebagai teras penting pembangunan ekonomi serta identiti negara di persada dunia.

Go to News Site