Ulat foto terus 'bayangi' KLCC, apakah solusi terbaik?
Sinar Harian

Ulat foto terus 'bayangi' KLCC, apakah solusi terbaik?

MENARA Berkembar Petronas (KLCC) bukan sekadar mercu tanda negara, sebaliknya menjadi simbol kemajuan dan tarikan utama pelancongan Malaysia yang sentiasa dipenuhi pengunjung dari dalam dan luar negara.Di tengah pesatnya Kuala Lumpur, KLCC menawarkan pengalaman lengkap daripada panorama bandar moden, pusat beli-belah bertaraf antarabangsa hinggalah taman rekreasi yang menjadikannya lokasi ideal untuk bersantai dan merakam kenangan.Keindahan seni bina menara berkembar serta suasana malam yang memukau menjadikan kawasan terbabit antara lokasi popular untuk dikunjungi dan dirakam gambar kenangan.Bagaimanapun, kelebihan itu turut mengundang sisi gelap apabila kehadiran ‘ulat foto’ atau jurufoto tidak berlesen semakin berleluasa sejak beberapa tahun lalu yang mengambil kesempatan terhadap pelancong.Golongan sering dikesan mendekati pelancong secara agresif, menawarkan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran sah dan dalam sesetengah kes, mengenakan caj tidak munasabah sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati.Seawal 2023, laporan media mendedahkan wujud kes pelancong tempatan dikenakan caj melampau sehingga RM110 untuk sekeping gambar yang menimbulkan rasa rimas dalam kalangan pengguna, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap imej industri pelancongan negara.Situasi itu berlarutan apabila pada 2024, pengurusan KLCC didakwa tidak membenarkan sebarang aktiviti 'ulat gambar' di pekarangan bangunan ikonik itu.Pada November tahun lepas, tindakan lebih agresif diambil oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melancarkan operasi membanteras ‘ulat gambar’, termasuk di kawasan tumpuan seperti Pintasan Saloma.Walaupun pihak berkuasa telah menjalankan pelbagai operasi penguatkuasaan, isu 'ulat gambar' dilihat berulang dan masih belum berjaya ditangani secara menyeluruh.Terbaharu pada 2026, insiden lebih serius dilaporkan apabila dua lelaki cedera dalam satu kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan jurufoto haram.Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, seramai 18 lelaki telah ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes memukul dua lelaki hingga mengalami kecederaan di kepala di Persiaran KLCC pada Ahad.Bagaimanapun, kes terbaharu itu menimbulkan persoalan sama ada kawalan sedia ada benar-benar mencukupi, memandangkan KLCC merupakan antara ‘wajah hadapan’ Malaysia kepada pelancong asing.Lebih membimbangkan, situasi itu kini berkembang daripada sekadar gangguan kepada ancaman keselamatan apabila berlaku insiden keganasan melibatkan kumpulan berkenaan.Insiden tersebut memberi isyarat jelas bahawa masalah ‘ulat foto’ bukan lagi isu kecil, sebaliknya berpotensi menjejaskan ketenteraman awam dan imej negara di mata pelancong.Sebagai destinasi ikonik yang menjadi ‘wajah hadapan’ Malaysia, sebarang pengalaman negatif di KLCC boleh memberi kesan besar terhadap persepsi pelancong terhadap keseluruhan negara.Dengan negara merekodkan lebih 42.19 juta pelawat antarabangsa sepanjang 2025, momentum sektor pelancongan jelas berada pada landasan kukuh dan perlu dipelihara.Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), isu ‘ulat foto’ tidak boleh lagi dipandang ringan dan tindakan tegas dan bersepadu perlu dilaksanakan segera bagi memastikan keselamatan, keselesaan serta imej negara terus terjamin, sekali gus mengekalkan keyakinan pelancong untuk memilih Malaysia sebagai destinasi utama.

Go to News Site