Elak defisit belanjawan 'meletup' - Pakar
Sinar Harian

Elak defisit belanjawan 'meletup' - Pakar

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan menyelaraskan jumlah minyak yang disubsidikan menerusi Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada 200 liter berbanding 300 liter dianggap sebagai satu usaha untuk mengelakkan defisit Belanjawan 2026 daripada 'meletup'.Pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Barjoyai Bardai berkata, ketika ini defisit belanjawan pada kadar sekitar 3.5 peratus dan ia dijangka meningkat sekiranya kerajaan tidak mengawalnya dengan langkah-langkah khusus."Dalam belanjawan, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM49 bilion untuk subsidi dan bantuan sosial, tetapi seperti yang dilaporkan pada 22 Mac lalu, subsidi minyak meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion hanya dalam tempoh kurang seminggu."Keadaan ini memberi anggaran akan berlaku peningkatan empat kali ganda dalam pemberian subsidi, jadi bajet sebanyak RM49 bilion itu akan 'meletup' (bertambah)," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.Pada Khamis, ketika mengumumkan langkah-langkah mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyelarasan kelayakan BUDI95 bersifat sementara bagi menunggu keadaan minyak, bekalan dan ekonomi dunia pulih.Selain itu, katanya, kerajaan mengekalkan harga diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak, namun mengehadkan pengisian diesel berdasarkan jenis kenderaan pengguna.Mengulas lanjut Barjoyai menjelaskan, setiap kenaikan AS$10 harga minyak mentah dijangka meningkatkan defisit belanjawan negara antara 0.1 hingga 0.2 peratus."Jika harga minyak meningkat daripada AS$60 kepada AS$100 setong, defisit boleh meningkat sekitar 0.4 peratus iaitu daripada 3.5 peratus kepada hampir 3.9 peratus."Sekiranya keadaan itu berterusan, kerajaan mungkin terpaksa meningkatkan pinjaman bagi menampung perbelanjaan luar jangka," jelasnya.Barjoyai juga yakin kerajaan berharap peningkatan hasil daripada sektor petroleum termasuk cukai petroleum, dividen Petroliam Nasional Bhd (Petronas) serta jualan gas asli cecair (LNG) dan minyak mentah dapat membantu menampung peningkatan perbelanjaan subsidi.Justeru, beliau menegaskan, penyelarasan subsidi itu bukan bertujuan mengurangkan subsidi secara keseluruhan, sebaliknya memastikan bantuan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya."Kurang daripada lima peratus rakyat menggunakan kuota maksimum minyak RON95 300 liter sebulan, manakala lebih 95 peratus pengguna hanya menggunakan sekitar 80 liter sebulan kerana kebanyakan mereka menggunakan motosikal dan kenderaan bersaiz kecil."Jadi saya percaya penyelarasan kepada 200 liter tidak menjejaskan majoriti rakyat, malah kerajaan berpotensi menjimatkan kira-kira RM1 bilion sebulan," tambahnya.

Go to News Site