Sinar Harian
LEGENDA golf dunia, Tiger Woods sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila ditahan dan didakwa atas kesalahan memandu di bawah pengaruh (DUI) selepas terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kenderaannya terbalik di Florida, pada Jumaat.Pihak berkuasa memaklumkan, Woods bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden tersebut.Syerif Daerah Martin, John Budensiek berkata, pemenang 15 kali gelaran Major itu ditahan selepas kenderaan dipandunya bergesel dengan sebuah trak sebelum terbalik ketika cuba memotong di sebuah jalan kawasan perumahan berhampiran kediamannya di Jupiter Island.Menurut Budensiek, Woods yang pernah ditahan atas kesalahan serupa pada 2017, menunjukkan tanda-tanda di bawah pengaruh namun lulus ujian pernafasan bagi alkohol."Bagaimanapun, dia didakwa secara rasmi atas kesalahan memandu bawah pengaruh selepas enggan menjalani ujian analisis air kencing."Apabila tiba masanya untuk kami meminta ujian air kencing, dia enggan. Oleh itu, dia didakwa atas kesalahan DUI, kerosakan harta benda dan keengganan mematuhi ujian yang sah di sisi undang-undang dalam kemalangan tersebut," katanya.Tambah Budensiek, pakar pengesanan dadah yang memeriksa Woods di lokasi kejadian percaya atlet tersebut berada di bawah pengaruh 'sejenis ubat atau dadah'.Namun, di bawah undang-undang Florida, Woods mempunyai hak untuk menolak ujian air kencing tersebut yang menyebabkan pihak berkuasa tidak akan mendapat keputusan muktamad mengenai jenis bahan yang diambilnya ketika kejadian.Mengulas lanjut mengenai kemalangan itu, Budensiek menegaskan insiden berkenaan mampu meragut nyawa sekiranya terdapat kenderaan dari arah bertentangan."Ini adalah jalan kecil dua lorong. Jika ada seseorang yang bergerak dari arah bertentangan, kita mungkin tidak akan bercakap tentang 'tiada kecederaan' sekarang."Walaupun had laju hanya 30 batu sejam, foto-foto di lokasi menunjukkan kenderaannya menggelongsor dalam jarak yang agak jauh sebelum berhenti," jelasnya.Mengikut undang-undang DUI Florida, Woods akan ditahan sekurang-kurangnya lapan jam di penjara tempatan sebelum dibebaskan.Insiden itu berlaku lima tahun selepas Woods terlibat dalam kemalangan ngeri di California pada 2021 yang menyebabkan kecederaan parah pada kaki kanannya sehingga memerlukan pembedahan besar.Woods yang memegang rekod 82 kemenangan Jelajah PGA, baru-baru ini sedang dalam usaha untuk kembali pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan tumit dan belakang badan tahun lalu. Beliau juga dilaporkan merancang untuk beraksi dalam kejohanan Masters bulan hadapan.
Go to News Site