Nyawa jadi taruhan
Sinar Harian

Nyawa jadi taruhan

KUALA LUMPUR – Terlibat operasi sulit menumpaskan kumpulan perompak bank, kes pembunuhan dan geng kongsi gelap menjadi pengalaman bernilai bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarjan (B) Alan Finian Lopez sepanjang 38 tahun berkhidmat dalam pasukan keramat itu.Menceritakan kembali pengalaman itu, Alan, 61, berkata, beliau menyertai PDRM pada 5 April 1987 selepas menjalani latihan rekrut di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur selama enam bulan.Menurut Alan, dengan pangkat Konstabel, beliau kemudian ditugaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru."Penglibatan saya dalam Cawangan Jenayah bermula pada tahun 1992 selepas diarahkan Pegawai Turus D9 Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor ketika itu DSP A Paramasivam untuk melakukan satu tugasan sulit."Saya diminta laksanakan kerja under cover selama beberapa bulan untuk mengintip beberapa kumpulan penjenayah bersenjata api di Johor Bahru."Setelah melaksanakan tugasan itu, saya diserapkan menyertai bahagian D9 JSJ Johor," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.Tambah Alan, dari situ beliau diajar dan dididik Paramasivam cara menangani kes jenayah berat.Katanya, tugas pertama selepas menyertai D9 IPK Johor ialah kes pembunuhan seorang lelaki tempatan yang mayatnya ditemui dalam keadaan terbakar dalam sebuah bilik hotel di Johor Bahru.Katanya, seorang wanita mendakwa sebagai isteri kepada mangsa terbabit membuat tuntutan insurans berhubung kematian itu, namun yang berlaku sebenarnya lelaki itu ialah individu tidak dikenali dan bukan suami wanita terbabit."Bila kami menyiasat secara detail kita dapat maklumat lelaki yang mati itu bukan suami wanita ini."Kemudian, saya diarahkan untuk membuat risikan selama beberapa bulan dan berjaya mengesan wanita ini dengan sekumpulan lelaki yang mencurigai di sebuah restoran dan lelaki yang didakwa mati itu juga ada ketika perjumpaan mereka."Bertindak atas maklumat, pasukan serbuan telah menyerbu restoran terbabit dan menangkap kumpulan itu," ujarnya.Katanya lagi, serbuan susulan di beberapa buah kediaman membongkar kumpulan terbabit dipercayai turut terlibat dalam beberapa kes pemalsuan kad kredit antarabangsa apabila penemuan peralatan memalsukan kad kredit, sejumlah wang tunai serta barang kemas.Kata anak jati Melaka itu, seramai sembilan individu melibatkan warga tempatan, Singapura dan Hong Kong diberkas."Siasatan juga mendapati mayat lelaki yang ditemui itu ialah seorang penagih dadah," ujarnya.Selain itu, menceritakan pengalaman terlibat dalam operasi sepanjang tahun 1992 hingga 2005 di IPK Johor, hasil maklumat beliau pihak JSJ IPK Johor berjaya membuat rampasan 18 senjata api.Jelasnya, kebanyakan operasi yang dijalankan melibatkan penjenayah bersenjata api hardcore yang ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di lokasi kejadian."Ada di antara penjenayah terbabit berjaya ditangkap dan dituduh."Ada antara kumpulan ini melakukan samun rumah dan samun bersenjata api di bank dan kedai emas," ujarnya.Surat penghargaan nyalakan semangatMenurut Alan, pertama kali menerima surat penghargaan pada 6 Mac 1993 daripada Ketua Polis Johor ketika itu, Datuk Ismail Che Rus di atas kejayaan dalam menumpaskan sindiket antarabangsa yang melakukan satu pembunuhan dan pemalsuan kad kredit."Pada 1994, saya dianugerahkan surat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Mohd Noor dan sekali lagi pada 2006 oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan."Penghargaan-penghargaan yang diterima ini atas didikan pegawai saya sebelum ini yang banyak memberi tunjuk ajar."Saya bangga dapat bekerja di bawah beberapa pegawai legend serta berpengalaman seperti Tan Sri Razarudin Husain (mantan Ketua Polis Negara), Datuk A Paramasivam (bekas Timbalan Ketua Polis Perak), Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar (bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman), Datuk Abdul Rashid Harun (bekas Ketua Pesuruhjaya Sabah),"Tidak dilupakan juga Datuk Zulkiflli Abdullah, Datuk Jaafar Mohd Yusuf, SAC (B) Rupeah Abd Wahid dan DCP Hoo Chuan Huat (kini Timbalan Ketua Polis Johor)," katanya.Jelas Alan, cabaran membanteras jenayah pada waktu dahulu berbeza dengan hari ini dari segi teknologi khususnya.Tambahnya, kebelakangan ini terdapat banyak tuduhan negatif polis apabila penjenayah bersenjata ditembak mati."Saya pernah bersama pasukan beberapa kali terlibat dalam situasi getir berbalas tembakan dengan penjenayah."Polis hanya akan melepaskan tembakan jika nyawa mereka atau orang awam terancam," ujarnya.Jelas Alan, beliau mengambil cabaran menyertai Sang Saka Biru kerana dorongan bapa saudara, Allahyarham Aloysious Lopez Abdullah yang juga pesara polis.Sebagai rekod, pada tahun 2024, Alan telah menerima kenaikan pangkat Sarjan Mejar dengan menjawat tugas sebagai Ketua Polis Balai Bukit Gambir, namun terpaksa ditolak disebabkan komitmen keluarga.Alan bersara dengan pangkat Sarjan di IPK Kuala Lumpur pada bulan Ogos tahun lalu.

Go to News Site