Wanita untuk dilindungi, bukan 'punching bag'
Sinar Harian

Wanita untuk dilindungi, bukan 'punching bag'

DI sebalik kebahagiaan yang sering dipamerkan dalam institusi perkahwinan, realitinya masih ada wanita yang menanggung derita apabila dijadikan mangsa keganasan oleh insan yang sepatutnya melindungi mereka.Dalam kejadian dua minggu lepas, seorang wanita hamil dipukul suami di Kompleks Perniagaan Kota Syahbandar, Melaka Tengah membuktikan bahawa isu seumpama itu masih berlaku.Apa yang mengejutkan, lelaki itu tergamak menyebabkan kecederaan kepada mangsa dengan pelbagai cara termasuklah menumbuk belakang kepala, menampar muka, memukul kepala dan menolak isterinya sehingga jatuh.Kes seumpama itu bukan sekadar kes terpencil, sebaliknya memberi gambaran bahawa masih ada pihak yang melihat wanita sebagai sasaran untuk melepaskan kemarahan.Lebih menyedihkan, mangsa adalah isteri iaitu individu paling hampir yang sepatutnya dilindungi, disayangi dan dihormati tanpa syarat.Hakikatnya, perkahwinan bukan lesen untuk bertindak kasar atau menguasai pasangan, tetapi satu amanah yang menuntut tanggungjawab dan keikhlasan.Sering kali kita mendengar bahawa ketika bercinta, semuanya indah dengan penuh perhatian, kasih sayang dan janji setia yang tidak berbelah bahagi.Bagaimanapun, apabila melangkah ke alam perkahwinan dan berdepan tekanan hidup sebenar, ada yang gagal mengurus emosi lalu memilih jalan keganasan sebagai penyelesaian.Dalam masa sama, tidak mustahil masih ramai wanita yang menjadi mangsa dalam senyap apabila memendam derita tanpa suara, termasuk ibu yang memilih berdiam diri demi menjaga rumah tangga atau anak-anak.Di sinilah pentingnya kesedaran bahawa konflik rumah tangga adalah lumrah, tetapi keganasan bukan pilihan dan tidak boleh dinormalisasikan.Wanita bukan ‘punching bag’ untuk dilepaskan marah, sebaliknya insan yang perlu dihargai dan dilindungi dalam apa jua keadaan.Lebih-lebih lagi apabila melibatkan wanita hamil, tindakan ganas bukan sahaja mencederakan ibu, malah boleh mengancam keselamatan nyawa dalam kandungan.Pada Khamis lepas, tindakan lelaki yang bekerja sebagai penghantar makanan terbabit mendapat balasan apabila dia dihukum penjara selama empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh.Tindakan undang-undang terhadap pelaku harus menjadi amaran keras kepada semua bahawa wanita perlu dilindungi, bukan dipukul walau apa pun alasannya, kerana asas sebuah keluarga yang sejahtera adalah rasa hormat, kasih sayang dan keselamatan yang terjamin.

Go to News Site