Ruddy kekal ADUN Pitas, petisyen pilihan raya dibatalkan
Sinar Harian

Ruddy kekal ADUN Pitas, petisyen pilihan raya dibatalkan

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah kekal sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut susulan keputusan pembatalan petisyen yang dikemukakan oleh calon Parti Warisan (Warisan), Datuk Harun Ismail di Mahkamah Pilihan Raya.Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Wong Siong Tung yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya membuat keputusan itu secara dalam talian selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh Ruddy serta dua lagi responden.Harun, 66, sebagai pempetisyen mencabar kemenangan Ruddy yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas.Harun kemudian diperintahkan membayar kos sebanyak RM15,000 kepada Ruddy dan tambahan RM15,000 sebagai kos kepada responden kedua dan ketiga.Beliau memfailkan petisyen pilihan raya pada 23 Disember tahun lalu dan menamakan Ruddy, 57, sebagai responden pertama; Pegawai Pengurus bagi kawasan Pitas sebagai responden kedua; dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga.Dalam petisyennya, Harun memohon pengisytiharan bahawa Ruddy tidak dipilih dengan sewajarnya sebagai ADUN Pitas, pilihan raya pada 29 November 2025 diisytiharkan batal, serta kos dan apa-apa perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.Pada Januari tahun ini, responden-responden memfailkan bantahan awal masing-masing untuk membatalkan petisyen tersebut, antaranya atas alasan butiran dakwaan rasuah yang tidak mencukupi serta kekurangan fakta ringkas berhubung dakwaan salah laku.Ruddy diwakili barisan peguam iaitu Shahlan Jufry, Rizwandean Bukhary M Burhan, Rupilin Aliq dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain.Sementara itu, Ruddy ketika dihubungi menyambut baik keputusan mahkamah yang membatalkan petisyen tersebut.Beliau bersyukur dengan keputusan itu dan melihatnya sebagai sesuatu yang sangat adil serta berlandaskan undang-undang."Semua pihak termasuk pempetisyen wajar menghormati keputusan itu dan berlapang dada menerima keputusan tersebut."Ini kerana dengan menghormati keputusan pihak mahkamah, ia bukan sahaja satu langkah menghentikan segala tuduhan atau fitnah pihak pembangkang, tetapi juga meredakan ketegangan penyokong masing-masing," katanya.Ruddy berharap perkara yang lebih penting ketika ini ialah perpaduan serta kerjasama warga Pitas dalam menyokong usaha beliau sebagai pemimpin yang telah mendapat mandat rakyat di Pitas serta kerajaan negeri untuk menambah baik kemudahan asas di daerah tersebut.Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu, Ruddy memperoleh 5,754 undi dalam pertandingan enam penjuru dengan majoriti 1,565 undi. Harun pula menerima 4,189 undi.

Go to News Site