Sinar Harian
KOTA TINGGI – Sebarang keputusan termasuk membawa keluar pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) dari selatan Lubnan kerana penugasan itu tertakluk sepenuhnya kepada mandat misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau United Nations (UN).Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, apabila menyertai misi pengaman di bawah United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL), struktur pemerintahan serta keputusan operasi berada di bawah kawalan PBB.Menurutnya, sebarang tindakan melibatkan operasi, pergerakan atau penugasan anggota tidak boleh dibuat secara unilateral oleh Malaysia."Kita tertakluk kepada UN kerana apabila menyertai misi ini, struktur pemerintahan dan keputusan operasi berada di bawah UNIFIL."Kita tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan sendiri termasuk menarik keluar pasukan tanpa melalui proses yang ditetapkan," katanya pada sidang akhbar Projek Janaveteran di ladang Telok Sengat di sini pada Sabtu.Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata demikian ketika mengulas situasi semasa di Lubnan yang menyaksikan beberapa insiden pertemuan tidak dirancang antara anggota MALBATT dan pihak lain termasuk pasukan Israel Defense Forces (IDF).Bagaimanapun, beliau menegaskan setakat ini tiada sebarang insiden buruk berlaku dan keadaan masih terkawal.Dalam masa sama, beliau menjelaskan keutamaan kerajaan adalah memastikan keselamatan anggota sentiasa terjamin walaupun tertakluk kepada mandat antarabangsa."Jika situasi memerlukan, kita boleh mengambil langkah seperti mengehadkan pergerakan atau mengarahkan anggota berada di dalam kubu (bunker), namun semuanya perlu selaras dengan garis panduan UNIFIL," jelasnya.Ketika ini, lebih 500 anggota MALBATT ditempatkan di Lubnan sebagai sebahagian daripada misi pengaman antarabangsa.Terdahulu, beliau dilaporkan berkata tiada anggota MALBATT 850-13 yang cedera dalam beberapa insiden letupan berhampiran kawasan operasi UNIFIL di selatan Lubnan susulan ketegangan antara IDF dan Hezbollah.
Go to News Site