KPDN perketat penguatkuasaan kekang ketirisan bekalan bahan api
Sinar Harian

KPDN perketat penguatkuasaan kekang ketirisan bekalan bahan api

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan beberapa langkah strategik bagi menghadapi gangguan bekalan bahan api global yang memberi kesan kepada ekonomi negara.Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, perkara itu merangkumi larangan penjualan dan pembelian minyak petrol RON95 oleh kenderaan berpendaftaran asing mulai Rabu depan."Langkah ini adalah antara strategi bagi memastikan subsidi terus dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja."KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik atau pemandu kenderaan asing atau pengusaha stesen minyak yang melanggar peraturan ini akan berhadapan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Menurut beliau, dalam tempoh sama, pelesen stesen minyak di Sabah, Sarawak dan Labuan juga diarah mengawal penjualan minyak diesel."Kawalan itu melibatkan kenderaan pengangkutan darat mengikut kategori kenderaan, dalam kuantiti 50 liter, 100 liter dan 150 liter pada setiap transaksi pembelian."Langkah ini adalah penting bagi memastikan bekalan minyak diesel yang dijual pada harga subsidi RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak dieksploitasi oleh sindiket penyeludupan atau sektor industri yang tidak layak," ujarnya lagi.Azman berkata, seramai 2,400 pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara kini berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi bagi melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan."Menerusi Ops Tiris 4.0, KPDN akan memperkukuh kerjasama strategik secara bersepadu dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan yang lain bagi menutup sebarang ruang penyelewengan dan ketirisan."KPDN memberi amaran keras bahawa sebarang cubaan oleh mana-mana pihak, sama ada individu mahupun sindiket yang cuba mengambil kesempatan dalam situasi konflik global ini tidak akan dikompromi," katanya.Jelas beliau, perbuatan menyeleweng subsidi negara merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara.Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menyelaraskan sementara kelayakan penggunaan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April ini dalam usaha memastikan subsidi bahan api terus dinikmati majoriti rakyat.Beliau berkata, langkah itu diambil sebagai pendekatan bersasar susulan ketidaktentuan pasaran minyak global dan kesan konflik di Asia Barat terhadap bekalan serta ekonomi dunia.

Go to News Site