Ketua Pembangkang: PN guna konsep musyawarah – Takiyuddin
Sinar Harian

Ketua Pembangkang: PN guna konsep musyawarah – Takiyuddin

KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) mengekalkan pendekatan musyawarah dalam menentukan calon Ketua Pembangkang yang baharu, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.Menurut beliau, keputusan berhubung perkara itu dijangka dimuktamadkan sebelum akhir bulan ini atau selewat-lewatnya sebelum persidangan Parlimen pada Jun depan."Perkembangannya sebagaimana kenyataan Pengerusi PN sebelum ini. Kita akan selesaikan sebelum akhir bulan ini kalau sempat atau pastinya sebelum persidangan Parlimen bulan Jun."Pas akan menjadi Ketua Pembangkang, itu memang sudah pasti," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Sabtu.Mengulas lanjut, Takiyuddin menjelaskan proses pemilihan dibuat berdasarkan amalan biasa dalam kalangan parti pembangkang dengan mengambil kira pandangan Ahli Parlimen.Katanya, ketika ini hanya dua parti dalam PN yang mempunyai wakil di Parlimen iaitu Pas dan Bersatu, justeru perbincangan dibuat secara bersama antara kedua-dua pihak."Apabila dibuat sesuatu ketetapan, pandangan daripada Ahli Parlimen turut diambil kira. Bukan mereka melantik, tetapi pandangan itu penting dalam membuat keputusan."Seperti sebelum ini, pelantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin dibuat oleh PN dengan persetujuan Ahli Parlimen. Jadi itulah amalan yang kita akan teruskan," ujarnya.Beliau menegaskan kaedah sama akan diguna pakai bagi menentukan calon baharu, selaras dengan prinsip demokrasi dan kesepakatan dalam gabungan itu."Ini musyawarah kita. Dari segi demokratiknya begitu. Kita tunggulah keputusan nanti," katanya.Terdahulu, Sinar Harian melaporkan PN memutuskan jawatan Ketua Pembangkang akan dipegang oleh seorang Ahli Parlimen Pas bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyandang jawatan berkenaan ketika ini.Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikannya pada Sabtu.Beliau berkata, bagaimanapun nama Ahli Parlimen yang akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang baharu itu hanya akan diumumkan sebelum akhir Mac ini.

Go to News Site