Sinar Harian
PADANG BESAR – Cubaan tiga lelaki warga Thailand menyeludup 410 liter petrol dan diesel ke negara jiran gagal apabila mereka ditahan dalam operasi khas Op Taring Bravo 1 yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama beberapa agensi penguatkuasaan di Padang Besar pada Khamis lalu.Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihak berkuasa berjaya menahan tiga kenderaan dari Thailand yang mencurigakan di Jalan Kangar–Padang Besar berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar.Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua kenderaan terbabit telah diubah suai tangki minyak bagi menyembunyikan bahan api tersebut."Rampasan melibatkan sebuah kereta sedan dengan 150 liter petrol serta dua buah pikap dengan masing-masing 140 liter dan 120 liter diesel."Sebanyak 410 liter petrol dan diesel dirampas dengan nilai dianggarkan RM2,015.70, manakala nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM217,015.70," katanya dalam satu kenyataan.Jelas Balveer Singh, berdasarkan siasatan awal, ketiga-tiga suspek berusia antara 22 hingga 45 tahun dipercayai aktif menjalankan kegiatan penyeludupan berikutan permintaan tinggi di Thailand, selain harga minyak di Malaysia yang lebih murah.Menurutnya, kekurangan stok bahan api di negara jiran akibat krisis geopolitik dunia dipercayai turut menjadi pendorong kepada aktiviti haram ini."Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 8(4)(a) Akta 122, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya."Selain itu, saman turut dikeluarkan terhadap suspek kerana kesalahan mengubah suai struktur kenderaan," ujarnya.
Go to News Site